Sunday, 1 April 2012

Djokovic jumpa Murray, Nadal tarik diri

MIAMI - Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan tenis Miami Masters selepas mengetepikan cabaran liat pilihan ke-21, Juan Monaco 6-0, 7-6 (7-5) dari Argentina, semalam.

Penyandang juara dari Serbia itu akan mengulangi final 2009, apabila menempah pertemuan dengan bintang Scotland dan pilihan keempat, Andy Murray, hari ini.

Murray mara ke final tanpa perlu mengeluarkan peluh selepas lawannya, jaguh No. 2 dunia, Rafael Nadal menarik diri kerana kecederaan lutut kiri.

Djokovic, 24, pada awalnya tampak akan memenangi perlawanan dengan mudah apabila hanya memerlukan 27 minit untuk menang 6-0 di set pertama tetapi Monaco berjaya bangkit di set kedua dan memberikan tentangan hebat kepada jaguh No. 1 dunia itu sebelum akur 6-7 (5-7) dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 1 jam, 36 minit.

Ini adalah kali kedua Djokovic gagal menamatkan permainan dengan cepat biarpun bermula baik. Pada suku akhir, Rabu lalu, dia mudah mengalahkan pilihan kelima, David Ferrer 6-2 di set pertama tetapi bergelut di set kedua sebelum menang 7-6 (7-1).

"Saya mengulangi perkara yang sama seperti di suku akhir, saya bermula dengan sangat mantap dan agresif tetapi kemudian gagal meneruskannya di set kedua. Pujian harus diberikan kepadanya (Monaco) hari ini kerana dia berjuang habis-habisan dalam perlawanan ini, dia bangkit memberi tentangan yang hebat.

"Apa pun, saya memang tidak pernah menjangkakan perlawanan akan mudah. Ini separuh akhir, sudah tentu hanya pemain yang terbaik saja berjaya mara ke peringkat ini, jadi saya gembira dapat meneruskan kemaraan ke final,'' kata Djokovic.

Bercakap mengenai pertemuannya dengan Murray, Djokovic menjangkakan satu pertarungan sengit, sambil menyifatkan jaguh Britain itu sebagai pemain yang berpotensi besar.

"Kita semua tahu dia sangat berbakat, berpotensi dan mempunyai kualiti. Dia pemain yang berbahaya di atas apa juga jenis permukaan gelanggang. Kami bermain di final 2009, saya kalah dengan straight set,'' kata Djokovic yang akan menentang Murray buat kali pertama sejak memenangi Terbuka Australia, Januari lalu. - AFP

No comments: