Tuesday, 10 April 2012

Ferguson sanjung tinggi Scholes


SCHOLES (tiga dari kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan
sepasukannya selepas menyumbang gol kedua United di Old Trafford kelmarin.


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memuji persembahan yang dipamerkan perancang veteran, Paul Scholes ketika membantu The Red Devils membenam Queens Park Rangers (QPR) 2-0 dalam saingan Liga Perdana England kelmarin.

Malah, pada aksi yang berlangsung di Old Trafford itu, Scholes meledak satu gol hasil rembatan menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-68.

Terdahulu, Wayne Rooney membuka tirai jaringan United hasil sepakan penalti yang diperoleh seawal minit ke-15.

Bagaimanapun, penampilan semula Scholes daripada persaraan ternyata telah memberikan impak positif buat United yang kini berpeluang cerah merangkul trofi liga buat kali ke-20.

Sebagai rekod, United hanya keciciran dua mata daripada maksimum 36 mata sejak Scholes kembali membarisi skuad The Red Devils pada Januari lalu.

"Hari ini (kelmarin) kita dapat lihat Scholes yang sangat tipikal. Kamu sendiri dapat lihat rentak permainannya.

"Malah, kawalan tempo permainan yang dimilikinya pada perlawanan hari ini (kelmarin) tidak berubah.

"Dia sememangnya seorang pemain yang hebat. Gol kedua yang dijaringkan Scholes telah menenangkan semua orang. Percubaan dari jarak jauh adalah salah satu keistimewaan yang dimiliki Scholes," kata Ferguson.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan tersebut, Ferguson mengakui, anak-anak buahnya tidak beraksi pada tahap prestasi sebenar mereka.

"Saya gembira kami (United) berjaya mencatatkan kemenangan. Ia sangat penting buat kami.

"Namun secara jujurnya, pemain-pemain saya terlalu selesa dengan situasi mereka ketika ini.

"Saya tidak fikir kami banyak melakukan percubaan pada babak pertama perlawanan tetapi mujur kami berjaya bangkit pada babak kedua," jelas Fergu- son.

Kemenangan ke atas QPR itu menyaksikan anak-anak buah Ferguson kini semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim lalu.

Dengan hanya berbaki enam perlawanan, United unggul menerajui takhta liga dengan mengumpul 79 mata, lapan mata meninggalkan pencabar terdekat, Manchester City. - Agensi

No comments: