Tuesday, 10 April 2012

Mencari penawar duka


MAT ZAN (dua dari kanan) bersama Steven Tan (dua dari kiri) ketika hadir pada sidang media semalam sambil ditemani ketua pasukan masing-masing, Sharbinee Allawee (kanan) dan Aleksandar Duric (kiri).


KEKECEWAAN selepas dibelasah Selangor 1-6 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu telah dilupakan dan kini anak-anak buah Mat Zan Mat Aris bertekad mencari penawar duka apabila Terengganu turun menentang Tampines Rovers bagi aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) petang ini.

Dengan mengumpul enam mata dari- pada tiga perlawanan, skuad Penyu hanya memerlukan kemenangan pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bagi mencerahkan laluan ke pusingan kedua.

Malah, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris turut menyifatkan perlawanan petang ini sebagai peluang terbaik buat para pemain mengembalikan keyakinan diri.

“Saya tahu semua pihak masih terkejut dengan kekalahan kami kepada Selangor tempoh hari tetapi itu bukan- lah alasan untuk kami terus mengaku kalah.

“Esok (petang ini), kami akan turun menentang kelab Singapura, Tampines Rovers dan sudah pasti kami inginkan kemenangan untuk memastikan tempat ke pusingan kedua,” kata Mat Zan pada sidang media semalam.

Untuk rekod, Terengganu yang beraksi buat pertama kali di pentas Piala AFC kini selesa menduduki tangga kedua Kumpulan F dengan enam mata, ketinggalan tiga mata di belakang kelab dari Hong Kong, Kit- chee.

Pada perlawanan di Singapura minggu lalu, juara Piala FA 2011 itu berjaya menewaskan Tampines 1-0 menerusi jaringan Joseph Kalang Tie.

“Kami berjaya menewaskan Tampines di Singapura sebelum ini dan saya rasa tiada alasan untuk kami tidak boleh memenangi perlawanan ini.

“Lagipun, inilah satu-satu peluang untuk kami menempah sejarah dengan mara ke pusingan kedua,” ujarnya.

Sebagai percaturan, Mat Zan bakal menurunkan barisan terkuatnya diketuai penyerang sensasi, Francis Forkey Doe yang akan digandingankan bersama Abdul Manaf Mamat.

Dalam pada itu, kapten Terengganu, Sharbinee Allawee mengakui tahap kecergasan rakan-rakan sepasukannya kini agak terjejas selepas melalui jadual perlawanan yang cukup padat.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah alasan untuk mereka tidak mampu mempamerkan rentak terbaik memandangkan peluang beraksi di pentas Piala AFC bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kami gagal beraksi dengan baik ketika berdepan Selangor lalu dan saya akui kekurangan itu.

“Namun, semua pemain sedar bahawa kami juga memikul tanggungjawab besar untuk mencari kemenangan ke atas Tampines,” katanya.

No comments: