Tuesday, 10 April 2012

Global: Gimnasium masyarakat gempal

KESEDARAN untuk menjaga kesihatan nampaknya semakin meningkat apatah lagi dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada 7 April lalu. Atas sebab itu, kini ramai yang menjadikan senaman sebagai ubat untuk menjaga kesihatan.

Di mana-mana pun di seluruh dunia, selain tidak cukup masa, antara alasan yang kerap diberikan ialah ketiadaan peralatan untuk bersenam. Namun kini penduduk di Afrika Selatan tidak lagi boleh meng�gunakan alasan berkenaan apabila ada syarikat bermurah hati menyediakan gimnasium untuk mereka.

Dalam keadaan bajunya dibasahi peluh, seorang wanita gempal masih sempat menyapa orang yang melewati gimnasium terbuka pertama di Soweto.

Gimnasium terbuka kini menjadi satu trend baru di Afrika Selatan yang dikategorikan sebagai sebuah negara dengan masyarakat paling gemuk di dunia.


Kemudahan ini dibina di taman di celah-celah blok pangsapuri dua bilik, berjaya menarik perhatian ramai penduduk Soweto untuk bersenam terutama mereka yang berazam mahu menurunkan berat badan tanpa perlu menandata�ngani kontrak yang mahal di gimnasium.


Sejak Majlis Perbandaran Johannesburg membuka gimnasium ini sebulan lalu, ia sudah menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat yang mencuba senaman seperti mengang�kat bebanan atau ayunan kaki di atas alat seperti buaian kaki yang direka khas dengan memecahkan lemak degil di dalam badan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bersenam di gimnasium. Tetapi tempat ini (gimnasium terbuka) sangat memudahkan penduduk seperti saya kerana ia tidak jauh dari rumah. Tambahan pula ia boleh digunakan dengan percuma.

“Saya jalan datang ke sini pada bila-bila masa. Sudah berulang kali doktor menasihat�kan saya untuk menurunkan berat badan dan menjaga kesihatan. Jadi inilah peluang untuk saya berbuat demikian,” kata Chichi Mofokeng, 37, wanita yang memiliki berat badan 90 kilogram itu.

Tidak seperti Brazil, Britain, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, gimnasium terbuka adalah satu perkara� ganjil di Afrika Selatan, walau�pun keperluan untuk menanga�ni peningkatan kadar obesiti sangat mendesak.

Tahun lalu, bandar raya Cape Town memperkenalkan gimnasium terbuka pertama�nya di kawasan pantai, khusus untuk penduduk kaya yang tinggal di persisiran pantai Atlantik.

Bandar itu sedang menimbangkan untuk membuka lebih banyak gimnasium percuma di kawasan lain untuk menggalakkan penjagaan kesihatan.

Di dalam beberapa kajian, Afrika Selatan akan mengambil alih kedudukan Amerika Syarikat sebagai negara de�ngan penduduk paling gemuk di dunia.

Pada 2007, Majlis Penyelidikan Perubatan mendapati 56 peratus wanita dewasa dan 29 peratus lelaki dewasa di Afrika Selatan mengalami masalah gemuk atau obes.

Dalam kajian lain yang dijalankan syarikat pengeluar ubat pada 2010 mendapati, 61 peratus daripada 50 juta penduduk negara itu obes, hanya satu tangga di belakang Amerika dan Britain.

Selain kurangnya aktiviti cergas, pihak berkuasa kesihatan menyalahkan kemudahan untuk mendapatkan makanan segera yang tidak menyihatkan yang mempunyai cawangan hampir di semua tempat awam menyebabkan masalah kegemukan dan obesiti di negara itu.

Tim Hogin, Pengarah Urusan Green Outdoor Gyms, iaitu syarikat yang menye�diakan peralatan gimnasium mesra alam, berkata dia mengambil keputusan untuk terbabit dalam projek itu (memberi kemudahan bersukan) selepas membaca laporan mengenai statistik obesiti di negara itu yang semakin meningkat.

“Saya terkejut apabila mengetahui jumlah penduduk gemuk dan obes di negara ini. Sasaran kami ialah untuk mengajak orang melakukan banyak pergerakan, menjadi lebih cergas dan sihat.

“Saya sedar bukan semua orang mampu membayar yuran keahlian di gimnasium yang mahal dan ia menjadi antara alasan utama untuk tidak bersenam,” kata Hogin.

Menurut Hogin, syarikatnya bercadang membuka 1,000 gimnasium di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.

Mesin senaman yang tidak boleh dialihkan itu direka khas untuk mempunyai daya tahan terhadap perubahan cuaca dan penggunaan lasak.

Peralatan senaman itu dihimpunkan di tengah taman dan jika dilihat sekali imbas, ia tidak ubah seperti taman permainan kanak-kanak. Namun anggapan ini akan segera berubah apabila orang dewasa mula memanfaatkan kemudahan percuma berkenaan.

“Awak sendiri boleh lihat badan saya yang agak besar ini. Saya mahu kuruskan badan dan menjadi lebih sihat. Saya juga mahu galakkan anak-anak untuk turut aktif. Bersenam di gimnasium bukan lagi hanya untuk orang berada, malah orang seperti kami juga boleh jadi lebih cergas,” kata Chewa Letsoale.

Soweto yang mempunyai 1.7 juta penduduk tidak mempunyai gimnasium sehinggalah Virgin Active, rangkaian syarikat milik Richard Branson membuka satu pusat senaman di situ Disember lalu. - AFP

No comments: