Tuesday, 10 April 2012

Novel Bersiri - Istikharah Sang Perindu (Siri 34): Hormati diri hargai hati

KEDUA-DUA ibu remaja itu bergaduh. Aku jadi panik. Aku tak tahu nak buat apa. Zaza tumbuk muka Lyana. Lyana jatuh tersungkur. Aku jadi bertambah-tambah takut dan bertambah-tambah ngeri. Aku tak tahu nak pegang tangan siapa. Kedua-dua perut mereka membuyut besar. Tidak takutkah mereka, kalau terjatuh atau terkena sepak terajang, boleh terberanak? Ngeri aku. Suara jeritan mereka macam orang tak mengandung. Bukankah perempuan mengandung nak buat apapun tak larat? Ini boleh bertumbuk, sepak terajang. Hairan aku.

“Pak Wi!” Akhirnya itu yang keluar dari mulut aku.

Aku menjerit sekuat-kuat hati. Kalaulah mereka berdua ini tak mengandung, sah aku marah dan belasah kedua-duanya sekali. Tapi melihat keadaan mereka yang bertubuh kecil, hanya perut yang membuncit, aku jadi ngeri dan kasihan.

Pak Wi meluru datang. “Kenapa?” Pak Wi terkejut melihat Zaza dan Lyana masih bertengkar dan saling memaki hamun.


Lyana yang jatuh terduduk, terkial-kial bangun. Zaza masih mahu melepaskan sebiji lagi penumbuk ke muka Lyana. “Astaghfirullahalazim kenapa jadi macam ni? Mengucap! Mengucap!” Pak Wi pegang kedua-dua tangan Zaza dan suruh aku peluk dia dan bawa ke pejabat.


Sekejap lagi Kak Ika sampai, kata Pak Wi.

“Nak peluk Zaza? Biar betul Pak Wi!” Aku ingatkan aku hanya bercakap dalam hati, rupa-rupanya suara itu terkeluar.

“Kenapa?” Pak Wi hulurkan tangan dan bantu Lyana bangun.

“Bawa dia masuk pejabat. Jehan jaga dia. Biar Pak Wi uruskan Lyana.”

Zaza meronta-ronta minta dilepaskan. Tak sanggup aku pandang keadaan dia. Aku takut anak dia terkeluar. Ngeri betul aku.

“Jangan kacau aku boleh tak?” Dia menjerit sekuat-kuat hati.

“Aku bencilah tengok muka kau orang semua. Sebab kau orang semualah aku kena tinggal dalam neraka ini. Kau orang memang baghal. Menyusahkan orang. Hantar aku balik tempat aku!! Aku nak balik! Aku nak balikkkk!!!!” Tak padan dengan perut buyut, tapi muka bengis dan agresif. Aku nak peluk macam mana?

“Tolong dia Jehan, dia tanggungjawab Jehan.” Suara Pak Wi lembut memujuk. “Zaza, sabarlah, kasihanlah anak dalam kandungan Zaza tu. Bawa bertenang.” Pujuk Pak Wi lagi.

Entah dari mana dapat pinggan, dia lemparkan pinggan itu ke lantai, sekuat-kuat hati.

“Nak bertenang macam mana?” Dia benar-benar marah. Dilibas tangannya kiri kanan. Kalau Lyana kena libasan itu, mahu terberanak jam ini juga. Nasib baik pinggan yang dirampas tadi bukan pinggan kaca. Kalau tidak entah siapa yang masuk ICU pula. Ngeri betul aku pandang muka Zaza.

“Aku benci tinggal di sini. Kena sembahyang, kena baca Quran. Aku tak boleh tahan. Aku nak balik tempat aku. Aku nak hidup bebas macam dulu!!!!”

Pak Wi beri aku isyarat bawa Lyana ke bilik. Dia akan uruskan Zaza. Dia suruh aku panggil Abang Arash dan Kak Sham. Aku berlari panggilkan mereka. Bila mereka sampai, aku pimpin Lyana bawa masuk ke bilik.

Memang bukannya senang budak macam Zaza nak jadi manusia. Bukan dalam masa satu hari. Kalau arwah Cahaya boleh rasa apa yang aku rasa, dengan kecewa aku membentuk manusia aku dan dia juga, tapi tidak begitu bagi Zaza. Sebabnya mungkin dia tak pernah rasa kecewa. Itupun satu masalah juga. Masalah besar bila diri tak pernah rasa kecewa.

Kata Ustaz Naufal, mula-mula buat dosa, rasa bersalah dan berdosa amat sangat. Tapi dia buat lagi dosa, akhirnya dia tak rasa bersalah dan mula rasa, berbuat dosa itu perkara biasa. Lama-lama dia pun biasa berbuat dosa dan terus berbuat dosa hingga ke satu tahap timbul rasa seronok pula berbuat dosa. Dan lebih malang, bila seronok sangat buat dosa, jadi pembela pula pada dosa. Hati-hati jangan sampai hati terjerumus ke daerah itu. Ke daerah hati yang sangat keras yang sudah sebati dengan sifat-sifat mazmumah yang boleh membawa kepada syirik, kafir dan syirik. Nahuzubillah! Minta dijauhkan Allah.

Begitukah yang dialami Zaza?

Aku baringkan Lyana dalam bilik. Tiba-tiba dia menangis dan mengadu sakit satu macam. Aku jadi panik lagi. Aku panggil Kak Ika. Syukurlah Kak Ika sampai tepat pada waktunya. Kami bawa Zaza dan Lyana ke hospital. Lyana dimasukkan ke wad bersalin dan Lyana ditempatkan di wad psikiatri. Dia alami gangguan mental, perlukan rehat dan dapatkan ubat penenang.

Aku minta izin Kak Ika untuk jaga Lyana di wad bersalin. Kak Ika macam tak percaya tetapi akhirnya tepuk bahu aku berkali-kali. “Kak Ika bangga dengan Jehan. Bangga sangat.” Dia peluk aku dan cium pipi aku kiri kanan. Aku nampak air matanya berlinang.

Sepanjang malam menjaga Lyana aku nampak mukanya penuh rasa bersalah, runsing dan risau. Dia meratap hiba. Tak boleh tahan aku disajikan drama tragis macam ini. Tapi ini assignment aku, aku reda terima apapun keadaan dan cabarannya. Tahan tak tahan, aku kena jaga dia juga.

“Lyana berdosa mak. Makkk.” Dia menjerit kesakitan. Aku rasa kesakitan itu sekejap datang sekejap hilang. Sebab, sekejap dia menjerit sampai tegang urat leher, sekejap dia baring dan hanya menyeringai. Tentu masa ibu mahu melahirkan aku dulu, ibu juga sekejap menjerit sekejap menyeringai macam Lyana. Kasihan ibu. Tapi bila anak dah besar panjang, tergamak buat macam-macam pada ibu, macam Abang Farhan dan Kak Zura. Kasihan ibu!

Lyana menjerit dan berguling-guling. Jeritannnya semakin kuat. Apa lagi yang boleh aku buat, selain daripada sabarkan dia sahaja. “Lyana, sabarlah Liana sabarlah.”

Dia pandang aku dengan muka sayu pilu. Betul-betul pandang meminta nyawa. Suaranya merayu-rayu.

“Tolong aku, Jehan. Tolonglah aku. Sakitnya Jehan. Sakitnya. Sakit sangatttt.” Dia berguling-guling kesakitan. Dan tiba-tiba meneran sekuat-kuat hati.

Aku menjerit panggil jururawat. Jururawat datang dan periksa pembukaan pintu rahim Lyana.

“Jangan meneran dulu Lyana, belum sampai masanya. Belum buka penuh lagi. Nanti tempat peranakan bengkak, koyak dan berdarah. Ubat tahan sakit kakak dah beri. Sedut gas ini lagi, jangan dicampak merata-rata, kotor.” Jururawat itu pujuk lagi Lyana.

Dia ambil corong gas penenang kesakitan yang jatuh atas lantai. Dikesat dengan tisu lembap antiseptik dan letakkan di muka Lyana, betul-betul menutup di bahagian hidung dan mulut Lyana.

“Sedut dalam-dalam bila Lyana rasa ada kontraksi. Satu kali kesakitan kita panggil kontraksi, sedut tiga kali. Kalau Lyana sedut ikut caranya, insya-Allah kurang sikit sakit. Tapi kenalah sedut betul-betul.”

Jururawat itu ajarkan aku macam mana nak pastikan Lyana sedut gas penenang kesakitan itu. Aku mengangguk tanda faham dan aku suruh jururawat itu buat kerja dia. Hal Lyana biar aku yang uruskan.

Nafas Lyana tercungap-cungap. Dia pegang tangan aku. “Jehan,” suaranya lelah. Aku pandang muka Lyana dan tanyakan apa yang dia mahu.

“Kau boleh tolong aku tak?”

Aku mengangguk. “Cakap saja kau nak apa, kau nak suruh aku buat apa. Aku tak kisah, aku buat. Aku dah janji nak tolong kau kan? Aku akan tolong.”

“Jangan beritahu emak aku. Tolonglah, Jehan.”

Luluh rasa hati mendengar suaranya yang luluh pilu itu. “Kau tengah sakit sekarang ni Lyana. Jangan fikirkan apa-apa. Fokus pada keadaan kau sekarang.
Kau nak bersalin. Itu saja. Yang lain-lain letak ke tepi dulu. Minta pada Allah semuanya selamat dan mudah.”

Fon tangan aku bergetar. Kak Ika tanyakan aku, ok atau tidak. Aku beritahu Kak Ika, Lyana benar-benar sakit nak bersalin. Aku suruh Kak Ika datang tapi dia kata dia sedang selesaikan masalah Zaza. Berat, kata Kak Ika, dia bukan sahaja disabitkan dengan penagihan dadah, malah pengedarannya juga. Dia suruh aku ajarkan Lyana baca doa untuk mudahkan bersalin. Doa itu selalu aku baca. Jadi aku tak ada masalah ajarkan Lyana. Tak tahu pula aku doa itu boleh digunakan ketika nak bersalin.

“Kau ikut aku baca doa ini Lyana. Kak Ika kata, boleh bantu orang nak bersalin. Insya-Allah mudah bersalin.”

“Jehan, aku...aku...” Dia menangis hiba. Suaranya sebak dan tertahan-tahan.

Aku tarik nafas dan tenangkan diri. “Kau ikut saja aku baca doa ini, Lyana. Kita doa sama-sama minta Allah mudahkan jalan kau. Mudah bersalin. Kau selamat, anak kau selamat. Ok, ikut aku baca.” Aku mulakan dengan penghulu ayat, “Bismillah hirahman nirrahim.”

Lyana ikut aku baca kalimah itu. Lapang rasa hati. “Laillahailla anta...” Aku beri isyarat pada Lyana, ikut apa yang aku baca. Macam ustazahlah pula. Ustazah rock!

“Laillahailla anta...” Suara Lyana masih hiba dan tertahan-tahan. Dia masih belum lagi berhenti menangis.

Aku kuatkan hati untuk ajarkan doa itu terus. “Subhanaka inni.”

“Subhanaka inni.” Dia menangis terus.

“Kuntum.”

“Kuntum...” Dia semakin sebak.

“Minnazolimin.”

“Minazolimin.”

“Lailla haillah anta. Subhanaka inni kuntum minaz zolimin.”

Belum sempat dia ikut aku habiskan doa itu, tiba-tiba dia menjerit. “Jehan, tolong aku Jehan. Aku...aku....” Dia menjerit dan menangis berhiba-hiba. “Mak....ampunkan Lyana mak...!!!! Ampunkan Lyana...”

Dan menjelang pagi, jam 5.30 Lyana selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang comel. Syukurlah aku berjaya temankan dia sepanjang menjalani proses bersalin yang rasanya azab sungguh itu. Melihat keadaan dan kesakitan yang Lyana tanggung semasa melahirkan bayinya itu, kasih sayangku pada ibu jadi berganda-ganda besar dan agungnya. Sempat aku solat syukur sebelum solat sunat fajar dan solat subuh. Syukur sangat-sangat dapat melihat keajaiban proses bersalin itu.

Selepas solat subuh aku pulang ke asrama Spektrum Hidayah. Kak Ika sediakan sebuah bilik untuk aku dan dia, untuk senang memantau penghuni-penghuni di situ. Selepas Zohor barulah aku dapat ziarah Lyana di wad selepas bersalin. Dia nampak sihat. Aku berikan dia air madu suam bercampur hirisan halia, dari air tanganku, sebaik tanyakan ibu dan nenek, apa yang perlu aku buat untuk menjaga orang lepas bersalin.

Lyana pandang aku dengan muka terharu. Aku buat-buat tak pandang muka dia.

“Terima kasih Jehan. Kau jaga aku sepanjang malam. Tak terbalas aku jasa baik kau Jehan. Aku nak minta kau tolong aku satu lagi. Bolehkah Jehan?” Dia minum halia madu yang aku hulurkan sehingga habis satu cawan dan hulurkan cawan kosong pada aku.

“Boleh. Kau nak apa lagi? Cakap apa saja. Aku tolong kau.”

Matanya mula bergenang.

“Jehan, tolong aku Jehan, jangan beritahu emak aku apapun pasal aku. Aku tak nak mak aku susah hati. Mak aku ada sakit jantung Jehan. Kalau mak aku tahu aku macam ni, aku takut perkara yang tak baik berlaku pada mak aku. Aku sayangkan mak aku Jehan. Aku sayangkan mak aku. Sayang sangat-sangat.”

Dia masih nak cakapkan hal itu. Semalam sebelum bersalin, kali ini selepas bersalin pula. Luluh hati aku mendengar curahan hati Lyana yang begitu menusuk itu. Kata azimat yang aku dapat dari dia, dia sayangkan emak dia. Kata-kata itu buatkan aku hormatkan dia. Aku pujuk dan sabarkan dia, selagi aku terdaya, aku akan simpan rahsia itu. Selagi aku terdaya, aku akan tolong dia.

“Tapi satu perkara yang kau kena tolong diri kau sendiri. Aku harap kau akan selesaikan, walau apa pun yang akan terjadi. Ini masa depan kau. Ini hidup dan mati kau, kau kena tolong diri kau sendiri, kalau kau nak orang hormatkan kau.”

Dia pandang aku macam ternampak tsunami. Kecut, seram sejuk, semua ada.

“Kau di tahun akhir sekarang kan?”

Barulah mukanya nampak berdarah. Dia tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan.

“Aku nak kau selesaikan pengajian kau. Itu aku tak boleh tolong. Yang lain semuanya aku boleh tolong kau.”

Meleleh lagi air mata di pipi Lyana. Suaranya sebak semula.

“Aku memang nak pergi jauh, Jehan. Aku nak berjaya macam kau. Tapi dalam keadaan aku sekarang, macam mana aku nak sambung belajar? Aku tak tahu nak buat apa. Masa depan aku dah hancur. Dah hancur, Jehan.”

Pantas aku memotong. “Hancur pasal apa? Kena kena langgar tsunami? Kena langgar lori? Masa depan kau kena langgar lori? Dah mati? Dah habis?”

Dia mengetap bibir menahan tangis. “Kalau emak ayah aku tahu, mati aku, Jehan.”
“Kau kena habiskan belajar Lyana. Apapun terjadi, kau kena habiskan belajar. Minggu depan kau ambil peperiksaan akhir kan? Kau pergi kolej. Ingat, kalau tak ada pelajaran sampai bila-bila kita akan jadi orang terbuang. Barulah masa depan kau hancur, bukan masalah kau yang hancurkan masa depan kau, tapi fikiran kau. Kau fikirlah baik-baik cakap aku ni. Kau kena tolong diri kau sendiri. Tadi kau kata, kau sayangkan emak dan ayah kau kan?”

Dia mengangguk. Air matanya berjurai lagi. “Anak aku...”

“Jaga anak kau baik-baik. Dia anak kau. Anak yang pernah berkongsi nyawa dengan kau.”

Dia menangis lagi. “Ya, dia anak aku. Dia anak aku. Tapi...”

“Kau nak jaga dia?”

“Memang aku nak jaga dia, tapi aku nak cari kerja dulu. Aku nak jaga dia, Jehan. Aku nak jaga dia!”

“Betul?” Aku pandang muka dia minta kepastian.

Dia jadi serba salah. “Tapi...”

“Kau kena pandang ke depan Lyana, pandang terus ke depan. Sekali buat silap jangan sekali-kali kau buat silap berkali-kali lagi. Adakah orang yang Allah berikan dia hidup lebih daripada sekali dalam dunia ini? Ada?”

“Aku...”

“Kau yang datang ke rumah Spektrum Hidayah kan?”

Dia mengangguk.

“Maknanya kau terfikir nak dapatkan tempat berlindung. Alhamdulillah, kau nampak ada tempat yang selamat. Sekarang lindungi dan selamatkanlah anak kau. Dia anak kau.”

Dia menangis semula. “Jehan aku tak akan tinggalkan dia Jehan. Aku akan jaga dia.”

“Jangan batalkan hak dia nak panggil kau...”

Dia jadi semakin sebak. “Mama...aku nak dia panggil aku mama. Aku akan jadi mama yang bertanggungjawab, Jehan.”

Hati aku mula berlibang-libau. Sedih, terharu, pilu, segala macam perasaan itu macam sembilu datang menusuk. Sekeras macam mana pun hati aku, bila mendengar suara pengakuan yang sayu pilu itu, mahu berlinang juga air mata ini. Tetapi untuk menguatkan hati dia, aku kena kuatkan hati aku, agar tidak terhanyut dengan kepiluan. Dengan selawat atas nabi, aku tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan.

“Ya, dia berhak panggil kau, mama.” Suara aku mula pecah. Aku semakin tahankan hati macam tidak ada apa-apa. Pada hal dalam hati aku ini, Allah sahaja yang tahu.

“Walau siapa pun dia, Lyana, dia tetap anak kau. Walau siapapun kau, kau tetap mama dia.”

Air matanya berjurai semakin lebat. Ditahan sebak. “Ya walau siapapun aku, aku tetap mama dia. Walau siapa pun dia, dia tetap anak aku. Terima kasih Jehan, kalau tak ada kau, aku tak tahu apa jadi pada aku.”

“Jangan macam tu, Allah yang tolong kau, bukan aku.”

“Apa pun terjadi kau kena terima hakikat ini, kau dah jadi mama.” Aku rapatkan katil comel bayi di hadapannya.

Bayi comel dibungkus selimut, tidur dengan tenang. Dia nampak sungguh comel. Tidak tahu aku macam mana ada orang tergamak buang bayi merata-rata. Kering sungguh hati mereka.

Lyana nampak sedih sungguh. “Ya aku nak jaga anak aku. Bolehkah Jehan?”
Aku sabarkan dia lagi. “Siapa kata kau tak boleh jaga dia. Kau kena habiskan belajar. Cari kerja yang baik dan jaga dia nanti. Dia anak kau. Berjanjilah pada dia dan pada diri kau sendiri, walau apapun yang akan terjadi, kau tetap akan bersama dia. Susah senang, kau tetap bersama dia.”

“Bolehkah kau tolong jaga anak aku, Jehan?” Terkejut aku, tiba-tiba sahaja kata-kata itu terkeluar dari mulut Lyana.

Aku rasa tsunami datang depan mata. Ringan sahaja kaki aku mahu berlari menyelamatkan diri. Dia nampak begitu mengharap. Aku semacam tidak diberi pilihan, terpaksa akur dengan keputusan dia. Akhirnya dengan multi perasaan yang berlibang-libau dalam hati aku bawa Lyana pulang ke kampung.

Aku kena pulang juga, kalau tidak, silap haribulan, Pak Long buat laporan polis melaporkan kehilangan aku. Pak Long terkejut bila aku pulang bersama Lyana dan bayinya. Aku tipu Pak Long, yang Lyana kawan kuliah aku, baru bersalin dan suaminya meninggal dunia kerana kemalangan.

Pak Long hanya berdehem. Dia setuju atau tidak, itu bukan urusan aku. Aku sudah buat keputusan dan aku yakin dengan keputusan itu. Aku yakin kerana setiap malam, aku sudah tunaikan solat istikharah. Solat yang memohon Allah buatkan aku pilihan keputusan yang terbaik untuk aku. Aku tak perlu bimbang, kerana aku yakin, semuanya ini pilihan Allah untuk mengatur perjalanan ikhtiar dan takdir hidupku. Kata Ustaz Naufal, redalah pada takdir kita dan bijaklah mentadbir takdir itu.

Mahu tak mahu akhirnya sampai juga sebulan Lyana tinggal di rumah Pak Long. Mak Long, ibu dan nenek jaga Lyana bagaikan anak dan cucu sendiri.

“Bisinglah budak tu. Inilah tak ada penyakit cari penyakit. Jehan tolong hantar budak tu balik. Pak Long tak sanggup dengar dia menangis.”

“Dua hari lagi saja Pak Long. Lyana tengah ambil periksa tahun akhir. Kita kenalah tolong dia. Buat amal jariah namanya ini. Pak Long tak nak pahala?”

Pak Long semakin geram. “Hei, susahlah nak cakap dengan kau ni Jehan, degil satu macam. Pergi bawa budak tu kat rumah anak yatim.” Dia mengherdik lagi.

Bayi Lyana menangis kuat. Agaknya terkejut mendengar suara Pak Long berdentum macam guruh.

Pak Long jadi marah. “Hei, geramnya aku. Jehan, bawa budak tu pergi.”

“Dia nak susu, Pak Long. Pak Long tolong pegang dia sekejap, Jehan nak buat susu sekejap.”

Tangisan bayi Lyana semakin kuat. Pak Long semakin menyinga.

“Kau ingat, Pak Long ni orang gaji? Pergi, Pak Long kata pergi, pergi bawa dia ke tempat lain. Hei, memekak saja budak ni.”

Aku tak peduli. Aku letakkan juga bayi Lyana di atas riba Pak Long. Tiba-tiba dia berhenti menangis. Aku berhenti melangkah ke dapur. Aku pandang muka Pak Long. Rasa seronok tengok muka Pak Long, jadi warna biru, merah jambu dan macam-macam warna.

“Eh, dia diamlah Pak Long. Dia diam bila Pak Long pegang dia. Macam ada keserasian pula.”

Kalau dah Pak Long, Pak Longlah juga. Marahnya bukannya boleh diredakan dengan apapun. Tapi yang aku hormatkan dia, dalam marah-marah, dia biarkan juga bayi yang aku letakkan atas ribanya, tetap di situ. Tidak dialihkan pula di atas lantai. Agaknya Pak Long aku ni, hatinya ada taman juga, macam aku. Ewah!

“Cepat pergi buat susu. Hei tak pasal-pasal kena pegang budak ni.” Terkejut aku dijerkah begitu.

“Tak baik cakap macam tu Pak Long. Kalau ibu ada, nenek dan Mak Long tak temankan ibu di hospital, tak payahlah Jehan minta tolong Pak Long. Hei, nak minta tolong sikit pun tak boleh. Berkira sangatlah Pak Long ni. Jangan buat macam tu Pak Long, jangan berkira sangat dengan kudrat. Sebab kudrat kita ni, Allah yang punya, nanti bila Dia ambil semula kudrat kita, hah, tak berkudrat kita nanti. Hah siapa yang susah?”

“Banyaklah kau punya kudrat. Mana susunya? Cepatlah. Nanti budak ni melalak lagi. Cepat! Cepat! Pak Long tak sanggup nak pegang budak ni lama-lama.”

Cepat-cepat aku berlari ke dapur bancuh susu. Berlari semula dapatkan Pak Long.

“Hah dah siap pun. Pak Long beri dia susu sekejap, Jehan nak siapkan air mandian dia pula.”

Pak Long pandang muka aku rasa macam nak telan. “Lepas satu, satu kau suruh Pak Long buat. Kau ingat Pak Long ni apa?”

Ada suara orang memberi salam. Lyana sampai dengan muka berpeluh. Dia rasa bersalah.

“Maaflah Jehan, susah nak dapatkan teksi tadi. Anak Lyana buat hal ke?”

“Dia tak ada hal. Yang buat hal yang tengah pangku dia tu.”

Muka Pak Long masam mencuka.

“Maafkan Lyana pak imam. Maaf kerana susahkan pak imam.”

Pak Long terkedu pandang Lyana. Kenapa?


Bersambung...

No comments: