Wednesday, 11 April 2012

GOLF: Manassero yakin pertahan gelaran

pix_gal0
PENYANDANG juara, Matteo Manassero tampak yakin mempertahankan kejuaraan golf Terbuka Malaysia Maybank, hujung minggu ini berdasarkan prestasi baik dipamerkan sejak beberapa minggu kebelakangan.

Bintang remaja sensasi Itali itu muncul juara selepas menewaskan pemain Perancis, Gregory Bourdy dengan kelebihan satu pukulan pada edisi ke-50 tahun lalu hasil catatan 68 pukulan pada pusingan terakhir untuk 16 bawah par, 172 keseluruhan.

Ia adalah kemenangan kedua dalam siri Jelajah Eropah dan menjadi batu loncatan kepadanya untuk berada dalam ranking 50 terbaik dunia serta membuka peluang untuknya beraksi di Kejuaraan Golf Dunia dan kejohanan major.

“Kemenangan di sini adalah saat paling hebat dalam kerjaya saya,” kata Manassero kepada media di lapangan kejohanan, Kelab Golf & Country Kuala Lumpur semalam.

“Untuk menang buat kali kedua, ia seperti menguatkan keyakinan saya.”
Sementara itu, cabaran terbaik tempatan sekali lagi disandarkan kepada pemain nombor satu negara, Danny Chia yang berpeluang melakar kejayaan manis pada pusingan terakhir tetapi sekadar menamatkan permainan terikat di tangga ke-41.

“Kali ini saya lebih fokus dan bersedia untuk kejohanan ini,” kata Danny yang terpaksa mengorbankan beberapa kejohanan bagi memastikan kecergasannya berada pada tahap terbaik menjelang Terbuka Malaysia yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$2.5 juta (RM8 juta) itu.

“Tahun lalu saya bermain terlalu banyak kejohanan dan tercedera bahagian belakang. Keadaan fizikal saya kini berada pada tahap terbaik untuk menyahut cabaran.”-Berita Harian

No comments: