Wednesday, 11 April 2012

Guardiola masih anggap mustahil pistas Real Madrid


PEP GUARDIOLA lebih suka memberi tumpuan kepada lawan yang bakal dihadapi satu demi satu sebelum memikirkan kejuaraan liga.


JURULATIH Barcelona, Pep Guardiola menganggap agak mustahil untuk memintas musuh tradisi, Real Madrid dan mengekalkan kejuaraan Liga Sepanyol pada musim ini.

Walaupun kini berjaya merapatkan kedudukan daripada 10 kepada empat mata sahaja selepas menewaskan Real Zaragoza 4-1 (Sabtu lalu), namun pengendali berusia 41 tahun itu enggan mendabik dada.

Ketika Real sekadar seri tanpa jaringan pada pertemuan menentang Valencia, Ahad lalu, hanya pertemuan El-Clasico antara kedua-dua pasukan tidak lama lagi akan menjadi penentu.

Sehubungan itu, Guardiola tidak mahu lagi berbicara tentang perebutan kejuaraan pada musim ini, sebaliknya menumpukan perhatian kepada perlawanan yang bakal dilalui satu demi satu.

"Saya masih berpendirian, agak mustahil bagi Barca untuk memenangi Liga Sepanyol.

"Ini kerana kami tidak boleh melupakan saingan pasukan lain. Tidak pernah tercatat dalam sejarah ada pasukan mampu kembali bangkit menjuarai liga selepas defisit 10 mata ke atas Real," kata Guardiola.

Beliau yang bakal tamat kontraknya dengan Barcelona pada musim panas dan masih belum menandatangani perjanjian baharu, terdesak untuk melakukan sesuatu dalam mengekalkan kejuaraan.

Kemenangan ke atas Getafe nanti akan mengurangkan defisit kepada satu mata sebelum Real Madrid berdepan Atletico Madrid sehari selepas itu.

"Apa yang penting, usah bercakap pasal Real lagi tetapi untuk menang ke atas Getafe dulu," tegasnya yang turut terpaksa mempersiapkan pasukannya untuk final Piala Raja Sepanyol dan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Chelsea. - AFP

No comments: