SAO PAULO: Neymar tidak membuang masa untuk meletakkan namanya dalam buku sejarah Santos apabila hatrik terbarunya membolehkan dia memintas Robinho dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab Brazil itu.
Penyerang 20 tahun itu meledak hatrik ketika membantu Santos membelasah Guaratingueta 5-0 kelmarin, untuk mengumpul 95 gol bersama Santos, sekali gus mengatasi catatan 94 gol Robinho.
Lebih menarik, Neymar mencapai jumlah itu dengan 40 perlawanan kurang berbanding yang diperlukan Robinho dan kini menduduki tangga keempat penjaring terbanyak Santos selepas era Pele dan di tempat ke-25 untuk senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Neymar beraksi 173 perlawanan bersama Santos setakat ini tetapi dia enggan terlalu bangga dengan kejayaan itu.
“Saya tidak bermain untuk menjadi pemain terbaik sepanjang zaman atau mengatasi pencapaian sesiapa dalam senarai penjaring.
“Robinho tetap idola saya. Saya hanya melakukan apa yang perlu dilakukan dan ia takkan berubah,” kata Neymar.
Neymar kini hanya kurang sembilan gol di belakang Joao Paulo dan Serginho Chulapa yang menjadi penjaring terbanyak Santos selepas era Pele.
Pele yang beraksi bersama Santos pada era 1960-an meledak hampir 1,100 gol. – AP
No comments:
Post a Comment