Sunday, 22 April 2012

Isu Perhimpunan membantah seks bebas dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam menegaskan penggunaan Dataran Merdeka hanya dibenarkan untuk aktiviti bertaraf nasional seperti sambutan Hari Kebangsaan, Hari Wilayah Persekutuan, Tahun Baru atau program setaraf, yang selari dengan polisi DBKL.

Atas dasar itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, berkata rayuan permohonan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), kelmarin, untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan membantah seks bebas dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dijadualkan hari ini, ditolak kerana ia tidak bersesuaian dengan ketetapan polisi DBKL.
“Presiden JMM, Azwanddin Hamzah menghantar surat kepada DBKL pada 10 April lalu bagi mendapat kebenaran mengadakan perhimpunan itu dan saya menerimanya pada 11 April. Rayuan itu ditolak oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan DBKL, Datuk Normah Malik melalui surat bertarikh 16 April.
“Bagaimanapun, surat rayuan diserahkan secara tangan oleh Azwanddin kepada saya pada 19 April dengan memberikan sebab kenapa permohonan itu perlu dipertimbangkan, namun saya menemui beliau dan membuat keputusan bahawa rayuan itu tidak boleh dipertimbangkan atas alasan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, sudah menjadi polisi DBKL untuk tidak membenarkan mana-mana perhimpunan berbentuk bantahan dan tunjuk perasaan diadakan di Dataran Merdeka yang mempunyai nilai sejarah negara.

Malah, katanya, keputusan itu juga selaras dengan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

Selain itu, katanya, alasan lain yang menyebabkan permohonan itu ditolak berikutan ada Konsert Diraja sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di lokasi itu pada hari sama perhimpunan itu dirancang.
“Segala persiapan rapi sedang dibuat bagi menganjurkan konsert itu di Dataran Merdeka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi bersama BERSIH 3.0, Datuk S Ambiga berkata perhimpunan 28 April ini tetap akan diteruskan walaupun DBKL tidak meluluskan permohonan mereka menggunakan Dataran Merdeka.

Katanya, surat ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan DBKL, Datuk Normah Malik memaklumkan Dataran Merdeka hanya boleh digunakan untuk acara peringkat nasional seperti sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Wilayah Persekutuan, diterima ahli jawatankuasanya, Maria Chin Abdullah, pagi semalam.

“Bagaimanapun, kami tetap meneruskan hasrat untuk berhimpun di Dataran Merdeka seperti dirancang dan tidak akan memohon semula atau membalas surat itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi bersama, Datuk A Samad Said.

“Jika ada halangan daripada pihak berkuasa, termasuk DBKL dan polis pada 28 April ini, kami akan berbincang dengan baik bagi memastikan perhimpunan diteruskan mengikut jadual,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi bersama, Datuk A Samad Said.

No comments: