Sunday, 15 April 2012

Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2012: Malaysia ada resipi juara


IMBAS KEMBALI... Dharma (barisan belakang, kanan) bersama skuad kendaliannya meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala Sultan Johor tahun lalu.


MESKIPUN hanya menang sekali dalam tiga aksi persahabatan menentang Pakistan baru-baru ini, Malaysia masih memiliki kekuatan tersendiri untuk muncul juara pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia yang akan berlangsung di Melaka bermula 3 hingga 13 Mei depan.

Keyakinan tersebut diluahkan sendiri oleh jurulatih, Muhd. Dharma Raj Abdullah terhadap anak-anak buahnya menjelang kejohanan itu yang menyediakan dua slot ke Piala Dunia Remaja 2013 di India tahun depan.

Dharma berkata, barisan pemain yang diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Pakistan tidak menggambarkan kekuatan sebenar pasukannya yang akan beraksi pada kejohanan itu nanti.

“Sebenarnya saya tidak menurunkan barisan terkuat kita pada tiga aksi persahabatan baru-baru ini kerana mahu menyembunyikan kekuatan daripada Pakistan.

“Saya ada 32 pelatih ketika ini dan saya mahu melihat sejauh mana kemampuan sebenar setiap daripada mereka, jadi saya hanya menurunkan lima atau enam pemain utama sahaja dan selebihnya ialah pemain yang lain.

“Oleh itu, saya boleh katakan keputusan dalam tiga aksi persahabatan baru-baru ini bukan gambaran sebenar pasukan kita, sebaliknya saya optimis kita sebenarnya ada kekuatan untuk muncul juara,” jelas Dharma kepada Kosmo! semalam.

Pada saingan persahabatan tersebut, skuad Projek 2013 negara tewas 3-5 dan 3-4 dalam dua aksi pertama sebelum bangkit dengan kemenangan 5-3 pada perlawanan terakhir.

Sebagai rekod, Malaysia menyingkirkan Pakistan pada aksi semi final Piala Sultan Johor tahun lalu sebelum mereka ditabalkan selaku juara dengan kejayaan membenam Australia 3-2 di pentas final.

Bagaimanapun, Dharma tetap menganggap Pakistan sebagai ancaman utama selain Korea Selatan dan India.

“Kita memiliki sebuah pasukan yang bagus, malah lebih bagus daripada skuad yang memenangi Piala Sultan Johor tahun lalu,” kata Dharma.

“Kita juga ada dua pemain berpengalaman yang beraksi dalam skuad senior iaitu Faizal dan Fitri Saari, jadi saya rasa ia satu kelebihan kepada kita biarpun Pakistan juga akan menyenaraikan empat pemain dalam skuad senior mereka,” jelasnya lagi.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Korea Selatan, Jepun dan Iran, manakala juara bertahan, India, Pakistan, China dan Sri Lanka dalam Kumpulan B.-Kosmo

No comments: