MENCARI cabaran baharu. Itu alasan utama Rexy Mainaky apabila membuat keputusan meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih beregu badminton wanita negara berkuat kuasa 30 April ini.
Mungkin segelintir pihak beranggapan ia hanyalah alasan semata-mata yang dibuat Rexy bagi membolehkan beliau menerima tawaran yang lebih lumayan.
Bagaimanapun, bagi yang mengenalinya dan mengikuti perkembangan jurulatih itu sejak beliau mula bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 7 Julai 2005, mereka sudah pasti percaya bahawa wang bukanlah segala-galanya buat Rexy.
Ini kerana, setelah hampir tujuh tahun bersama barisan pemain badminton negara, Rexy, 44, telah membuktikan kredibilitinya selaku jurulatih.
Buktinya cukup jelas, siapa tidak kenal dengan beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong?
Jika tidak kerana sentuhan istimewa Rexy, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa Kien Keat-Boon Heong mungkin tidak boleh mencapai tahap seperti yang mereka kecapi ketika ini.
Memulakan tugasnya dengan BAM selaku ketua jurulatih beregu lelaki, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menggandingkan Kien Keat-Boon Heong selaku beregu negara pada 2006.
Ternyata keputusan Rexy itu membuahkan hasil yang cukup positif apabila Kien Keat-Boon Heong menamatkan kemarau selama 36 tahun yang dialami kontinjen Malaysia dalam acara beregu lelaki apabila memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.
Setahun kemudian, mereka terus mencetuskan gerun dalam kalangan pihak lawan apabila bergelar juara Seluruh England - kejohanan paling berprestij di dunia.
Sekali lagi, ia hasil sentuhan Rexy yang memiliki keazaman tinggi untuk melahirkan jagoan bertaraf dunia.
Kejayaan yang dilakar Kien Keat-Boon Heong tidak terhenti begitu sahaja, malah mereka terus mencipta sejarah baharu dalam arena sukan badminton tanah air apabila menjadi beregu pertama dalam tempoh 13 tahun mara ke pentas final Kejohanan Dunia 2010 di Paris, Perancis.
Kemuncak prestasi beregu emas negara itu hadir apabila mereka memegang status selaku beregu No. 1 dunia pada 2010.
Bagaimanapun, kemuncak prestasi mereka tidak kekal lama.
Disebabkan kemerosotan prestasi yang dialami Kien Keat-Boon Heong sepanjang tahun lalu, pelbagai kritikan mula dilontarkan kepada mereka dan Rexy turut terkena tempiasnya.
Malah kedudukan ranking beregu handalan negara itu turut menjunam sehingga menyaksikan mereka kini sekadar menghuni tangga kelapan dunia.
Paling mengejutkan apabila Kien Keat-Boon Heong meminta BAM untuk menukar jurulatih mereka pada Ogos tahun lalu.
Disebabkan tidak mahu prestasi Kien Keat-Boon Heong terus merudum, BAM mengikut sahaja kehendak kedua-dua pemain tersebut.
Natijahnya, Rexy ditukarkan menjadi ketua jurulatih beregu wanita negara pada September tahun lalu dan tempatnya diambil alih oleh Tan Kim Her.
Naluri seorang wira sememangnya mengalir kuat dalam diri Rexy apabila beliau turut mencipta kejayaan dengan meletakkan dua beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei dalam kelompok 20 terbaik dunia.
Kini, Pei Tty-Eei Hui berada pada landasan tepat untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.
Kredibiliti Rexy selaku jurulatih sewajarnya dicontohi jurulatih-jurulatih tempatan yang lain.
Meskipun hasratnya untuk menyaksikan anak-anak buahnya memenangi pingat emas Sukan Olimpik dan bergelar juara dunia tidak kesampaian, namun Rexy sudah boleh dianggap berjaya sepanjang menabur bakti bersama BAM.
BAM seharusnya mengakui hakikat bahawa badan induk itu telah kehilangan seorang jurulatih yang berkaliber dalam usaha meningkatkan taraf arena sukan badminton tanah air di mata dunia.
Kini Filipina menjadi destinasi seterusnya buat Rexy meneruskan karier sebagai jurulatih. Beliau telah dilantik menjadi Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Filipina (PBA) dan akan memulakan tugasnya pada 1 Mei ini.
Sesuai dengan keinginannya untuk mencari cabaran baharu, Rexy diberi tanggungjawab yang cukup berat oleh PBA apabila beliau perlu melahirkan lebih ramai pemain badminton bertaraf dunia dalam kalangan rakyat Filipina.
“Saya diberi kebebasan untuk mencari pemain dan jurulatih serta melakukan perancangan bagi program pembangunan sukan badminton di Filipina.
“Ketika ini, Filipina hanya memiliki 20 pemain tanpa ada kedudukan dunia yang tinggi dan jumlah tersebut dianggap kecil buat negara yang mempunyai seramai 55 juta rakyat.
“Diberi kepercayaan untuk melakukan perubahan bersama pasukan badminton Filipina adalah satu penghormatan yang cukup tinggi buat saya sebagai jurulatih. Cabaran seperti inilah yang saya mahukan.
“Memang ia akan mengambil masa yang lama tetapi tidak ada yang mustahil. Contoh paling jelas, Park Joo-Bong yang menerima tawaran menjadi ketua jurulatih Jepun yang mana ketika itu tidak ramai pemain yang hebat.
“Namun, lihat di mana pemain-pemain Jepun ketika ini. Cabaran seperti inilah yang saya mahukan dan saya sudah bersedia sepenuhnya,” kata Rexy yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 1996 di Atlanta dalam acara beregu lelaki ketika era sebagai pemain bersama pasangannya, Ricky Subagja.
Buat BAM, kekosongan yang ditinggalkan Rexy perlu diisi dengan segera dan penggantinya harus lebih baik daripada jurulatih kelahiran Indonesia itu.-Kosmo
No comments:
Post a Comment