Sunday, 15 April 2012

Pentas Euro himpun gergasi Eropah


MILIK KAMI... Skuad Sepanyol meraikan kejayaan mereka muncul juara Euro 2008.


KEJUARAAN Bola Sepak Eropah (Euro) diperkenalkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Diadakan setiap empat tahun sekali sejak 1960, kejohanan itu pada awalnya dikenali sebagai Piala Negara Eropah sebelum diubah kepada Euro mulai 1968.

Sebelum beraksi pada pusingan akhir Euro, kesemua pasukan selain tuan rumah yang layak secara automatik, perlu mengharungi pusingan kelayakan terlebih dahulu.

Selama 13 edisi kejohanan itu dipertandingkan, sebanyak sembilan negara telah berjaya muncul juara.

Jerman muncul pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Euro dengan memenangi tiga daripada enam penampilan di pentas final.

Perancis dan Sepanyol pula antara pasukan yang berjaya menjulang trofi Henri Delaunay (juara Euro) sebanyak dua kali.

Negara Eropah lain yang pernah mengecapi kejayaan di pentas Euro ialah Itali, Belanda, Denmark, Greece dan juara edisi sulung, Kesatuan Soviet (kini dikenali sebagai Rusia).

Edisi terbaharu yang dianjurkan bersama oleh Switzerland dan Austria pada 2008 menyaksikan Sepanyol muncul juara dengan menewaskan Jerman 1-0 menerusi jaringan tunggal Fernando Torres pada minit ke-33.

Ia juga kejayaan pertama Sepanyol sejak kali terakhir mereka muncul juara ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1964.

Pada Euro 2008, perancang Sepanyol, David Villa dinobatkan selaku penjaring terbanyak dengan empat gol, sementara rakan sepasukannya, Xavi pula dianugerahkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Tirai Euro yang memasuki edisi ke-14 tahun ini semakin hampir disingkap dengan Poland dan Ukraine menjadi tuan rumah bersama bermula 8 Jun hingga 1 Julai, sementara Perancis pula akan menganjurkannya pada edisi 2016. – Agensi

No comments: