KETUA jurulatih negara, Jamaluddin Hassan menjangkakan masalah pelepasan majikan akan membelenggu kehadiran 18 pemain yang dipanggil melaporkan diri untuk membentuk skuad sepak takraw yang baru pada Ahad ini.
Menurut Jamaluddin, sesetengah majikan mungkin memerlukan masa yang lebih panjang kerana perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan bagi memberikan pelepasan kepada pekerja.
“Saya mendapat maklumat masih terdapat pemain yang tidak mendapat kebenaran. Jadi saya menjangkakan 18 pemain hanya dapat berkumpul dan menjalani latihan bersama pada awal bulan depan. “Namun sekiranya masih terdapat pemain yang gagal mendapat pelepasan, mereka akan digugur dan digantikan dengan pemain lain,” katanya.
Atas sebab itu juga, Jamaluddin tidak berhasrat untuk melakukan perubahan besar dalam barisan pemainnya untuk menghadapi Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) Ketiga di Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 6 Mei depan.
Beliau merancang untuk mengekalkan barisan pemain yang mara ke final Siri Super Kedua yang berlangsung di Indonesia, Februari lalu dengan pemain seperti Norshahruddin Mad Ghani, Farhan Adam, Tunku Noor Azwari Tunku Ishak serta Mohamad Fazil Mohd Asri dijangka terus diberikan kepercayaan.
“Hanya perubahan kecil akan berlaku sekiranya terdapat pemain yang menyerlah dalam masa terdekat,” katanya yang meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke final pada kejohanan yang berlangsung di Kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) East Simei itu.-Metro
No comments:
Post a Comment