SELEPAS beraksi satu pusingan kategori CP130, Shahril Izzuwan Mohd Noor akan kembali ke kategori CP115 bermula Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu hujung minggu ini.
Keputusan itu dibuat pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM hasil pertimbangan teliti yang mendapati gaya tunggangan Shahril lebih sesuai dengan jentera CP115.
Di samping itu, pertukaran dilihat sebagai langkah terbaik bagi mencapai objektif pasukan mempertahankan gelaran pasukan terbaik CP115 dimenangi dua tahun berturut-turut, 2010 dan 2011.
Bagi Shahril pula, langkah itu memberi peluang buatnya mempertahankan gelaran Juara CP115 yang dimenangi musim lalu.
“Pasukan kami mempunyai matlamat yang besar. Selain mengekalkan gelaran keseluruhan individu dan berpasukan CP115, kami juga mencari peluang menguasai kategori CP130 dan saya akan cuba yang terbaik bagi mencapai sasaran yang dikehendaki,” jelas pelumba dari Pulau Pinang itu.
Perlumbaan Pusingan 2 bakal menyaksikan Shahril berganding bahu dengan juara Batu Kawan, Mohd Iskandar Raduan manakala Zulsyafiz akan membawa cabaran kategori CP130 bersama Mohd Ramdan Mohd Rosli.
Mengulas sasarannya hujung minggu ini, Shahril menjangkakan perlumbaan yang sukar memandangkan tahap saingan dalam kelas pertengahan ini semakin meningkat.
“Untuk mempertahankan gelaran juara, jauh lebih mencabar berbanding memenanginya. Selain itu saya berpendapat perlumbaan kali ini pasti sangat sukar kerana berdasarkan apa yang berlaku di Batu Kawan, kebanyakan pelumba CP115 lebih hebat baik dari segi kemahiran dan keupayaan jentera selepas cuti panjang.
“Sungguhpun begitu, saya yakin memberi tentangan memandangkan mekanik pasukan sudah menyediakan pelarasan jentera yang mantap.
“Secara peribadi, saya meletakkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan lima pelumba teratas dan jika berjaya menaiki podium, ia satu bonus buat saya,” katanya.
Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.-Metro
No comments:
Post a Comment