Thursday 12 April 2012

Oosthuizen idam buru trofi juara Golf Terbuka Malaysia Maybank 2012

BINTANG Afrika Selatan, Louis Oosthuizen tidak sabar untuk melupakan kekalahan memilukan pada kejohanan Masters Amerika Syarikat minggu lalu dengan menjuarai Terbuka Malaysia Maybank bermula hari ini.

Oosthuizen, antara lima pemenang kejuaraan utama dalam kelompok pemain elit minggu ini, akan mengetuai cabaran pemain bintang termasuk juara Masters tahun lalu, Charl Schwartzel dan pemain nombor tujuh dunia Martin Kaymer dari Jerman di Kuala Lumpur Golf and Country Club.


Pemain handalan Thailand, Thongchai Jaidee, dua kali juara Terbuka Malaysia, Jeev Milkha Singh dari India, juara enam kejohanan dalam Jelajah Asia, pendahulu semasa Senarai Merit, Jbe Kruger dari Afrika Selatan dan pemain popular Siddikur Rahman dari Bangladesh turut akan tampil pada kejohanan menawarkan AS$2.5 juta (RM7.66 juta) dan diiktiraf bersama Jelajah Asia dan Eropah.

Sekalipun kalah di tangan pemain tangan kidal AS, Bubba Watson pada lubang kedua play-off Ahad lalu, Oosthuizen masih berkeyakinan berikutan persembahan menakjubkan pada kejuaraan utama pertama musim ini apabila dia muncul seorang daripada empat pemain melakukan pukulan albatross dalam Masters.


Juara Terbuka British 2010 itu berkata: “Saya masih agak kecewa ia tidak menjadi milik saya tapi kini saya lebih bersemangat untuk merampas Jaket Hijau itu.


“Saya fikir sesiapa yang beraksi dengan baik pasti mahukan kejuaraan. Saya fikir persembahan dalam kejohanan utama, sama ada menang, kalah play-off atau berakhir dalam kelompok tiga teratas akan memberikan anda keyakinan untuk meneruskan cabaran.

“Saya hanya berharap untuk terus bermain sebaik mungkin. Saya fikir pusingan pertama pasti sukar kerana keletihan tapi selepas itu dan selepas rehat yang cukup, harapnya saya boleh beraksi dengan baik,” kata Oosthuizen.


Seperti Oosthuizen, Kaymer, juara Kejohanan PGA AS 2010, menempuh penerbangan 30 jam dari Augusta ke Kuala Lumpur dan berharap untuk mengatasi jetlag dan memburu kejuaraan pada Terbuka Malaysia selepas dia hanya berkongsi tangga kesembilan tahun lalu.

“Saya hadir di kejohanan ini dan berasakan ada peluang untuk menang. Saya bersedia dengan baik dalam beberapa minggu ini untuk meletakkan diri dalam kedudukan terbaik petang Ahad ini,” kata Kaymer.


“Secara keseluruhan kami sudah berpengalaman luas untuk beraksi baik dalam cuaca panas. Kami sudah pergi ke banyak tempat panas di dunia dan sekitar Asia. Ia mudah untuk menyesuaikan diri kerana anda tahu apa yang akan anda hadapi,” katanya.-Metro

No comments: