Wednesday, 11 April 2012

Milner janji lonjak Man City

MANCHESTER: James Milner berjanji bahawa Manchester City akan terus berjuang merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini sehingga secara matematik mereka sudah tidak mempunyai peluang bergelar juara.

City bakal berdepan pasukan di tangga ke-13, West Brom di Stadium Etihad, hari ini (awal pagi esok) untuk bangkit semula selepas tewas 0-1 kepada Arsenal, Ahad lalu yang menyaksikan mereka kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Manchester United.

Skuad kendalian Roberto Mancini itu menjadi pendahulu liga bermula Oktober lalu hingga Mac tetapi kemudian mengalami kemerosotan prestasi tatkala United menang 11 daripada 12 perlawanan, sekali gus menyukarkan impian City menjulang kejuaraan liga buat kali pertama sejak 1968.

“Kami akan berusaha menang baki enam perlawanan. Dua pertiga musim kami berada di tangga teratas dan beraksi cukup cemerlang tetapi sejak kebelakangan ini kami gagal melakukannya.

“Apa yang perlu dilakukan, kembali bangkit mendapatkan rentak kemenangan bermula dengan aksi bertemu West Brom ini,” kata Milner. – AFP

No comments: