BERLIN: Bayern Munich memburu kemenangan pertama dalam tempoh dua tahun ke atas juara bertahan Liga Jerman, Borussia Dortmund apabila kedua-dua pasukan teratas itu bertembung di Signal Iduna Park, awal pagi esok yang bakal menentukan hala tuju kejuaraan liga musim ini.
Dengan saingan Liga Jerman hanya berbaki lima perlawanan, Bayern kini di tangga kedua dengan hanya ketinggalan tiga mata di belakang Dortmund dan pemenang pertembungan itu bakal mengisi tangga teratas.
“Kami tak boleh mengalami kekalahan. Ia mungkin menjadi penentuan kejuaraan liga musim ini. Jika kami berjaya mencatat kemenangan, kami akan mengambil alih tangga teratas liga daripada Dortmund,” kata Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.
Namun andai kemenangan berpihak kepada Dortmund, ia hanya akan meletakkan juara bertahan itu di kedudukan selesa dengan kelebihan enam mata berbanding Bayern.
Bintang Bayern, Bastian Schweinsteiger yang membantu pasukannya menewaskan Augsburg 2-1, Sabtu lalu bakal kembali menjadi pertaruhan dengan disahkan cergas selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali, Februari lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment