
LONDON - Pengurus Newcastle, Alan Pardew kini mula membayangkan slot untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara yang menawarkan hadiah £35 juta (RM170 juta) pada musim depan.
Pardew berkata demikian selepas menyaksikan pasukannya menewaskan Bolton Wanderers 2-0 menerusi jaringan Hatem Ben Arfa dan Papiss Cisse.
Kini Magpies hanya dipisahkan dua mata dengan Arsenal yang kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana England, sekali gus menyaksikan mereka memiliki peluang cerah untuk beraksi di pentas Eropah pada musim depan.
"Sekiranya kami berjaya mengekalkan konsistensi, kami akan berusaha lebih keras untuk layak ke Liga Juara-Juara.
"Itulah yang kami harus lakukan ketika berbaki lima perlawanan lagi. Penyokong-penyokong mahu kami melakukan sesuatu dan saya mahu memberikan sebaik mungkin untuk beraksi pada Liga Juara-Juara," katanya.
Ketika ini Pardew menganggap, pasukannya bakal terjamin tempat ke Liga Europa sekiranya Liverpool berjaya menewaskan Everton pada aksi separuh akhir Piala FA.
Bagaimanapun, Newcastle lebih berminat menumpukan perhatian kepada slot Liga Juara-Juara yang pastinya menjadi suntikan semangat buat Magpies dalam melakar satu sejarah baharu pasukan itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment