Wednesday, 11 April 2012

Tottenham Hotspur sudah kibar bendera putih


PENGURUS Spurs, Redknapp sudah tidak yakin pasukan bimbingannya akan menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Perdana England musim ini.


LONDON - Harry Redknapp sudah mengibarkan bendera putih dalam usaha Tottenham Hotspur untuk menamatkan saingan Liga Perdana England musim ini di tempat ketiga.

Sebaliknya, pengurus Spurs itu berkata, sasaran pasukan tersebut kini hanya fokus untuk memburu tempat keempat liga.

Katanya, peluang Spurs mengakhiri cabaran musim ini di tempat ketiga tampak sukar selepas skuad kendaliannya itu bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam lapan perlawanan terakhir.

Awal pagi semalam, anak-anak buah Redknapp dikejutkan dengan kekalahan 1-2 oleh Norwich City di White Hart Lane.

Sebagai rekod, Spurs hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir mereka.

"Ia akan menjadi satu persaingan yang hebat. Ada empat atau lima pasukan kini bersaing bagi berada dalam kelompok empat pasukan teratas liga.

"Meskipun masih berbaki lima perlawanan lagi tetapi saya tidak fikir kami mampu mencatatkan kemenangan dalam kelima-lima perlawanan tersebut," kata Redknapp.

Terdahulu, pada aksi menentang Norwich, Anthony Pilkington meletakkan pasukan pelawat di depan hasil jaringan seawal minit ke-13 sebelum Jermain Defoe menyamakan kedudukan buat Spurs pada minit ke-33.

Elliott Bennett muncul wira apabila meledak gol kemenangan Norwich pada minit ke-66.

Kekalahan itu menyaksikan Spurs menduduki tangga keempat liga dengan mengumpul 59 mata, dua mata di belakang Arsenal yang menghuni tempat ketiga.

Bagaimanapun, Spurs hanya dibezakan dengan jumlah jaringan dengan penghuni tangga kelima, Newcastle United.

"Kami akan cuba untuk menamatkan saingan liga musim ini di tempat keempat.

"Ia akan menjadi suatu yang manis sekiranya dapat memintas kedudukan Arsenal di tempat ketiga tetapi persaingan untuk itu sangat sengit.

"Newcastle pula telah mempamerkan peningkatan dan ia akan bertambah sengit," tambah Redknapp. - Agensi

No comments: