![]() |
PEREZ berasakan dia belum layak untuk dibandingkan dengan Senna. |
GUADALAJARA, Mexico - Sergio Perez mula dibandingkan dengan legenda perlumbaan Formula Satu (F1), Ayrton Senna selepas berjaya menaiki podium pada Grand Prix (GP) Malaysia.
Perez daripada pasukan Sauber melakar sejarah apabila menjadi pemandu pertama Mexico dalam tempoh 40 tahun berjaya menaiki podium di Litar Sepang pada 25 Februari lalu.
Perez, 22, menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pemandu Ferrari, Fernando Alonso.
Bagaimanapun, Perez yang ketika ini berada di kampung halamannya di Guadalajara, barat Mexico menolak perbandingan tersebut.
Perez berkata, para peminat hanya boleh membuat perbandingan itu dalam tempoh dua atau tiga musim lagi, sekali gus dia bersedia untuk memberi cabaran yang sengit bagi memburu gelaran juara dunia dalam perlumbaan F1.
"Ia menjadikan saya berasa bangga apabila orang ramai membuat perbandingan antara saya dan Senna.
"Begitupun, masih banyak yang perlu saya lakukan dalam karier untuk memperoleh penghargaan tersebut," kata Perez.
Perez dikaitkan dengan Senna berdasarkan corak pemanduannya di litar basah iaitu satu skil yang menjadikan pemandu kelahiran Brazil itu popular.
Selain itu, kejayaan tersebut turut mengaitkan Perez dengan perpindahan ke Ferrari.
Meskipun menafikan khabar angin itu, Perez berkata, menyertai sebuah pasukan yang hebat seperti Ferrari adalah impiannya.
"Pada masa hadapan, impian saya adalah untuk menyertai sebuah pasukan yang besar dan berjuang untuk memburu kemenangan.
"Perkara yang paling penting ialah memiliki jentera yang mampu memberikan saya peluang untuk memenangi perlumbaan," kata Perez.
Perez menyertai F1 tahun lalu bersama Sauber dan menamatkan penampilan pertama dengan mengutip 14 mata. - Agensi
No comments:
Post a Comment