CHA Bum-kun, pengulas bola sepak SBS dan juga bekas pemain Korea Selatan meminta maaf selepas penyokong mengkritik ulasannya kerana menyokong tindakan penyerang Arsenal, Park Chu-young menangguhkan kidmat latihan ketenteraan.
Sebelum itu, Bum-kun menulis satu kenyataan panjang dalam blognya dan meminta peminat supaya bertimbang rasa.
“Tidak bolehkah kita bertimbang rasa,” tulisnya dalam blog itu. “Seseorang perlu memiliki tiket melakukannya. Saya memiliki dua anak lelaki dan faham bagaimana rasanya berkhidmat dalam tentera.” Beliau turut menyentuh kejayaan Tiger Woods memenangi Kejohanan Jemputan Arnold Palmer baru-baru ini dan menganggap pemain golf itu contoh terbaik untuk menunjukkan bagaimana bintang sukan terpaksa menghadapi pandangan awam. Beliau memuji penyokong yang meraikan kejayaan Woods dan berkata, rakyat Korea sepatutnya memiliki sikap itu.
Kontroversi itu memuncak selepas pemain berusia 26 tahun itu membuat pengumuman keinginannya kembali ke Korea sebelum berusia 35 tahun untuk berkhidmat kepada negara.
Menerusi wakil peguam, Chu-young berkata 16 Mac lalu, dia diberi pengecualian secara sah daripada menyertai khidmat ketenteraan selepas memiliki visa penduduk selama 10 tahun di Monaco.
Bum-kun meminta maaf terhadap komennya dan sedar kemarahan penyokong bukan sekadar membabitkan khidmat tentera tetapi juga ketidakadilan dalam masyarakat secara umum.
“Chu-young bimbang mengenai saya berhubung apa yang saya tulis sebelum ini. Cha-Du-ri juga bimbang mengenai situasi ini,” kata pengulas berusia 58 tahun itu, menggambarkan kebimbangan dunia sukan terhadap kontroversi terbaru itu.
“Chu-young memohon penangguhan untuk khidmat ketenteraan menerusi visa 10 tahun di Monaco,” kata pegawai Pentadbiran Tenaga Kerja Ketenteraan pada hari sama Park mendedahkan situasi terkini.” “Dia memenuhi semua syarat dan tiada sebarang masalah perundangan dan kami memberikannya kebenaran untuk menangguhkan khidmatnya hingga 31 Disember 2022.” Penyerang Gunners itu menerima pelbagai komen daripada rakan pemain bola sepak, peminat malah ahli politik sejak mendedahkan mendapat pelepasan itu.
Kelompok pemain bola sepak kelihatan lebih terbuka dan kebanyakan pemain yang masih aktif memberikan ucapan tahniah.
Teman rapatnya, Lee Young-pyo, yang kini beraksi untuk pasukan Major League Soccer, Vancouver Whitecaps, paling lantang menyokongnya.
“Dia bukanlah mengelak sepenuhnya. Ini bukan berkaitan dengan benar atau salah. Tiada apa boleh dilakukannya buat negara jika berkhidmat serta-merta. Lebih banyak yang boleh dilakukannya untuk negara sebagai pemain bola sepak,” tegasnya.Harian Metro
No comments:
Post a Comment