KEY BISCAYNE (Florida): Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic mara ke final pertama sejak menjuarai Terbuka Australia selepas menewaskan Juan Monaco 6-0, 7-6 (7-5) di Miami Masters, semalam.
Lawan Djokovic di final adalah juara 2009, Andy Murray yang mara selepas Rafael Nadal menarik diri beberapa jam sebelum perlawanan separuh akhir berikutan kecederaan lutut kiri.
Nadal berkata, kecederaan itu menjadi semakin teruk tapi berharap dapat segera pulih untuk mengelak sebarang masalah pada musim gelanggang tanah liat selepas ini.
“Pada tiebreak, saya tetap tenang dan fokus dan menamatkannya bila perlu,” kata Djokovic.
Final ini yang pertama bagi Djokovic selepas menjuarai Terbuka Australia untuk gelaran Grand Slam kelima dan ketiga berturut-turut.
Berikutan ramai penduduk Argentina di South Florida, Monaco kelihatan mendapat sokongan penuh penonton. Penonton menyanyi dalam bahasa Sepanyol yang menggalakkannya untuk bangkit melawan.
“Saya memujinya kerana terus bertahan dan melawan,” kata Djokovic. “Ia perlawanan separuh akhir dan bukannya mudah.
“Sukar untuk saya membalas pukulannya tapi akhirnya saya ke final dan itu satu fakta positif. Saya akan cuba tidak melakukan kesilapan di perlawanan akhir,” kata Djokovic. - AP
No comments:
Post a Comment