31 Mac 2012

SELEPAS skuad senior, Malaysia Tigers diaibkan di laman lawan semalam, Malaysia Leopards turut menerima badi kekalahan sama apabila tersungkur di laman sendiri, 3-0 di tangan Indonesia Rajawali dalam separuh akhir pertama Piala Axiata di Stadium Badminton Cheras sebentar tadi.
Turun sebagai perseorangan pertama negara, Misbun Ramdan Misbun yang bermula dengan baik pada babak pertama terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar pemain ranking ke-16 dunia, Tommy Sugiarto dengan catatan 17-21.
Bermula set kedua, Misbun yang mendahului 7-2 bagaikan hilang konsentrasi apabila kerap melakukan kesilapan kecil yang memberi mata mudah kepada Tommy untuk mencari mata penyamaan.
Kelincahan Tommy melalui hantaran mengelirukan akhirnya menghukum Misbun untuk skuad pelapis Indonesia mendapatkan mata pertamanya apabila menewaskan anak bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek dengan catatan 16-21.
“Tommy seorang pemain berpengalaman yang bermain dengan baik hari ini (semalam). Malah melalui perlawanan tadi (semalam), saya juga belajar supaya tidak terlalu terburu-buru untuk menghabiskan permainan kerana ia menyebabkan saya mudah kerugian mata ,” kata Misbun sejurus tamat perlawanan.
Gandingan Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat yang menyusul selepas itu turut dimalukan beregu pelapis Indonesia, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan dengan straight set 15-21 dan 22-20.
Meskipun peluang cerah untuk ke set penentuan hampir diperoleh pada saat-saat akhir, Alvent-Hendra bijak mencuri peluang untuk mengaibkan skuad negara tanpa sebarang mata di hadapan penyokong negara.
Pengorbanan menarik diri dari Terbuka Vietnam oleh Zulfadli Zulkifli akhirnya sia-sia apabila turut menerima nasib malang sama setelah tewas kepada Dynosius Hayum Rumbaka, 11-21, 4-21 sekali gus meranapkan impian negara untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu mata untuk bekalan buat penyokong yang tidak henti-henti melaungkan kata semangat untuk kem negara.
Esok, Malaysia Leopards akan bertemu Indonesia Rajawali semula dalam aksi timbal balik di laman lawan, Jakarta manakala skuad senior negara akan bertemu barisan pemain Indonesia Garuda di Stadium Badminton Cheras.
Jadual Piala Axiata
Separuh Akhir Kedua (Ahad)
- Malaysia Leopards mln Indonesia Rajawali di Dewan Britama Arena Sports Mall, Jakarta 4.30 petang
- Malaysia Tigers mln Indonesia Garuda di Stadium Badmiton Cheras, Kuala Lumpur 8.00 malam
No comments:
Post a Comment