Proton antara pasukan pilihan tawan rali New Zealand.

MENJELANG perlumbaan Pasifik Asia Rally Championship (APRC) hujung minggu ini di The Brother International Rally, Whangarei di New Zealand, sudah pasti tumpuan terarah kepada pasukan Proton.

Bukan sahaja memulakan kempen musim ini sebagai juara bertahan pengeluar APRC, tetapi sebagai pasukan pilihan menjulang kejuaraan di New Zealand sekali lagi.

Proton bakal mempertaruhkan jentera Satria Neo S2000 yang dikendalikan juara APRC Alister McRae dan dibantu juara dua remaja dunia PG Andersson pada penampilan sulungnya kali ini.

Sementara Proton Cusco Rally Team 1600cc Satria Neos dikendali juara 2WD APRC Karamjit Singh dan juara remaja APRC, Akira Bamba.

Menyertai dua gandingan ini, adalah pemandu ketiga juara Perlumbaan 2WD Raly Malaysia Kenneth Koh yang pertama kali muncul pada perlumbaan antarabangsa kategori 2WD APRC.

Perlumbaan di Whangarei melibatkan 16 peringkat sejauh 283.287 km dengan pusingan pertama (Sabtu ini) membabitkan lapan peringkat termasuk laluan sejauh 32.11km sementara baki lapan peringkat dijalankan pada Ahad.

Tahun lalu, Proton muncul juara di Rali Whangarei dan tempat kedua dalam kalangan pengeluar selain menang tempat pertama dan kedua kategori 2WD (Satria 1600cc Rally Team Proton Cusco Neos) yang dipandu Karamjit dan Akira.

Tahun 2011 juga memperlihatkan Proton menjadi pengeluar kereta pertama memenangi lapan gelaran individu pada APRC.

Pengarah Kumpulan Pemasaran, Penjenamaan dan Motorsports, John Chacko berkata, kempen APRC tahun ini dimulakan serentak dengan pelancaran­ eksport Proton dan pengenalan kereta pertama di peringkat global.-Sinar Harian