
TURUN sebagai perseorangan kedua negara, Zulfadli Zulkifli mengakui kekalahan dalam saingan separuh akhir pertama Piala Axiata, semalam, adalah prestasi terburuknya setakat ini.
Sanggup menarik diri dari Cabaran Antarabangsa Vietnam untuk membantu skuad pelapis negara di Kuala Lumpur, Zulfadli tewas mudah kepada Dynosius Hayom Rumbaka dengan catatan 11-21 dan 4-21.
“Saya meminta maaf kepada penyokong Malaysia kerana gagal meraih mata untuk skuad negara.
“Saya gagal untuk fokus dengan baik sehingga menyebabkan Dynosius mudah mengawal permainan,” katanya sejurus tamat perlawanan semalam.
Enggan mengulas penyebab hilang konsentrasinya dalam perlawanan semalam, juara Remaja Asia ini berharap mampu mengubah corak permainannya sekali gus fokus dalam aksi timbal balik di Jakarta hari ini.
Sementara itu, jurulatih skuad pelapis, Hendrawan menyifatkan perlawanan semalam adalah kesempatan terbaik untuk pemainnya menimba pengalaman melalui perlawanan sebenar meskipun tewas tanpa sebarang mata kepada skuad Indonesia Rajawali.
“Semua pemain sudah bermain sebaik mungkin dan apa yang penting ini peluang terbaik mereka untuk merasai tekanan dalam perlawanan,” katanya.-Sinar Harian
No comments:
Post a Comment