Thursday, 10 May 2012

Fazil mengaku kesilapannya punca skuad takraw tewas

SEDAR kegagalannya beraksi dengan baik menjadi antara faktor menyumbang kepada kekalahan mengecewakan skuad negara pada Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) Ketiga di Singapura minggu lalu, Mohamad Fazil Mohd Asri tampil memohon maaf.

Tekong berusia 22 tahun itu mengakui kesilapan yang dilakukannya menyebabkan skuad negara kecundang 2-3 kepada Indonesia pada suku akhir sekali gus menambahkan lagi kebimbangan mengenai prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.


“Saya ingin memohon maaf, ia adalah kesilapan saya walaupun sudah mencuba memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu. Mungkin nasib tidak menyebelahi saya ketika itu walaupun cuba mempelbagaikan servis ke arah kiri dan kanan gelanggang,” katanya yang mengakui masih berasa kecewa dengan kekalahan itu.

Ketika aksi menentang regu Indonesia itu, kegagalan Fazil menyempurnakan sejumlah servis menyebabkan regu negara sering kehilangan mata sehingga tewas pada set pertama sekali gus memaksa jurulatih melakukan pertukaran dengan memasukkan tekong gantian, Mohd Hisham Mat.


Namun selepas dimasukkan kembali pada penghujung set kedua, Fazil dilihat masih belum mampu mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan yang berlanjutan hingga lima set itu.


Namun pemain kelahiran Pulau Pinang yang bersama skuad negara sejak 2009 itu berharap terus diberikan peluang dan berjanji untuk berusaha dengan lebih gigih dengan tunjuk ajar yang diberikan jurulatih bagi memastikan prestasinya meningkat di masa depan.

Sementara itu, kapten skuad negara, Farhan Adam berkata kekalahan itu tidak boleh diletakkan di bahu Fazil seorang saja kerana pemain lain turut melakukan kesilapan termasuk dirinya sendiri.

No comments: