Thursday, 10 May 2012

PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Shinichi Fukushima juara peringkat pertama perlumbaan berbasikal Jelajah 1 Malaysia 2012

PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Shinichi Fukushima menjuarai peringkat pertama perlumbaan berbasikal Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2012, sejauh 161.5km dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar, semalam.

Selain dinobatkan pemenang pada perlumbaan peringkat itu, pelumba Jepun itu juga merangkul jersi kuning dan biru selaku pelumba terbaik keseluruhan dan pelumba terbaik Asia.


Menamatkan perlumbaan mengatasi empat pelumba lain, Fukushima mencatatkan masa tiga jam, 50 minit dan 28 saat.

“Saya gembira kerana muncul juara peringkat pertama ini sekali gus berjaya menyarung jersi kuning. Pada Jelajah Thailand, Mac lalu, saya hanya menduduki tempat keempat. “Perlumbaan kali ini amat mencabar. Saya mengalami sedikit masalah semasa pendakian. Saya dan Saufi (Mohammad Saufi Mat Senan) membantu Harrif (Mohd Harrif Salleh) yang tercicir kedudukannya dalam kelompok pelumba di hadapan,” kata pelumba berusia 41 tahun, yang kali terakhir memenangi jersi kuning pada Jelajah Brunei, tahun lalu.


Pada perlumbaan peringkat pertama termasuk membabitkan pendakian di Ulu Yam, Selangor, Mohammad Saufi juga dari TSG, memenangi jersi merah selepas mengumpul enam mata.


Mengekori rapat di belakang Mohammad Saufi adalah pelumba New Zealand, Michael Torckler daripada pasukan Pure Black Racing dan pelumba Indonesia, Tonton Susanto dari pasukan Putra Perjuangan, dengan masing-masing mengutip empat dan dua mata.

Sementara itu, pelumba pasukan Malaysia Development, Mohamad Adiq Hussainie Othman muncul pelumba terbaik Malaysia dan berjaya menyarung jersi hijau bagi kategori Raja Pecut.


“Saya menyertai perlumbaan ini sebagai persiapan Jelajah Jepun pada 20 Mei ini. Saya tidak meletakkan sasaran memenangi sebarang jersi pada kejohanan ini dan hanya mencuba nasib jika ada peluang.

“Saya gembira dengan pencapaian hari ini dan tekad melakukan yang terbaik pada perlumbaan peringkat seterusnya,” kata pelumba berusia 21 tahun yang turut disenarai pendek dalam acara lebuh raya pada Sukan Olimpik London, Julai depan.


Perlumbaan peringkat kedua hari ini adalah perlumbaan laluan terpanjang sejauh 201.8km dari Bandar Baru Kampar ke Kulim, Kedah.-Metro

No comments: