Thursday, 10 May 2012

Manchester City Vs QPR, Djibril Cisse gesa ‘Mari balas dendam’

LONDON: Penyerang QPR, Djibril Cisse menggesa pemain kelab itu membantu Mark Hughes “membalas dendam” sekali gus menafikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat Manchester City selain memastikan mereka terselamat pada perlawanan di Stadium Etihad, hujung minggu ini.

QPR bertandang ke gelanggang lawan bagi perlawanan terakhir musim ini, Ahad ini dan berpeluang menentukan nasib sendiri selepas meloloskan diri daripada zon penyingkiran dengan kemenangan dramatik 1-0 ke atas Stoke, hujung minggu lalu.


Kemenangan itu hasil jaringan Cisse pada minit ke-89 bermakna Rangers akan terselamat daripada zon penyingkiran jika mereka sekurang-kurangnya seri di City, kelab yang memecat Hughes pada 2009 selepas 18 bulan bergelar pengurus.

Ramai beranggapan pengurus kelahiran Wales itu tidak bernasib baik kehilangan jawatannya selepas tempoh huru-hara di kelab itu yang membabitkan pengambilalihan bernilai jutaan pound oleh Sheikh Mansour.


Cisse berasakan Hughes, bekas pengurus yang diminati di Manchester United, tidak akan terdorong untuk membalas dendam namun Rangers perlu mengatasi City selepas cara pengurus itu dilayan.


“Ia akan menjadi satu balas dendam yang manis buatnya,” kata Cisse.

“Saya tidak fikir beliau akan memikirkan semua ini. Kebimbangan utama adalah mengekalkan QPR di saingan liga utama, namun ia akan menjadi kenangan yang indah untuknya.” Hughes mungkin berasakan beliau perlu membuktikan sesuatu kepada Mansour. Beliau mengemudi kelab itu mara ke suku akhir Piala Uefa ketika musim pertamanya di City dan terpaksa berdepan dengan perubahan besar-besaran membabitkan staf kelab itu.


Menentang Stoke adalah medan untuk Cisse yang perlu membuktikan sesuatu kepada penyokong dan pemilik QPR, Tan Sri Tony Fernandes.

Pemain Perancis itu menjadi tumpuan sejak perpindahan bernilai 4 juta (RM19.7 juta) dari Lazio apabila meledak lima gol dalam tujuh perlawanan namun dia turut menyebabkan kekalahan kelab itu apabila dibuang padang ketika menentang Sunderland dan Wolves yang bermakna dia digantung tujuh perlawanan.


“Saya cuba memberikan yang terbaik untuk membalas budi mereka,” kata penyerang itu. - Agensi

No comments: