LONDON: Blackburn Rovers tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris ketika saingan berbaki satu perlawanan apabila tewas 0-1 kepada Wigan Athletic, awal pagi semalam.
Dalam perlawanan yang mesti dimenangi mereka untuk terus kekal dalam saingan utama sejak 11 tahun lalu, Blackburn gagal mencari ruang untuk menembusi keutuhan pertahanan Wigan.
Menerusi kemenangan itu, Wigan memastikan kedudukan mereka di Liga Perdana terselamat hasil jaringan tunggal menerusi tandukan Antolin Alcaraz tiga minit sebelum tamat sekali gus mempamerkan kebangkitan dengan melakar kemenangan keenam dalam lapan perlawanan liga.
Kekalahan dalam suasana hujan di Ewood Park itu menambah musim yang sukar untuk Blackburn dengan pengurus kelahiran Scotland, Steve Kean berdepan desakan berterusan peminat yang memintanya meletakkan jawatan di kelab barat laut England itu.
Peminat turut membantah pembabitan pemilik Blackburn, Venky's iaitu firma perladangan yang berpusat di India dalam pengurusan kelab itu.
Kean dan Venky's menjadi tumpuan dengan desakan terbaru dilakukan penyokong Rovers yang berang awal pagi semalam supaya mereka meninggalkan kelab dengan salah seorang penyokong melepaskan seekor ayam ke padang ketika protes pada babak pertama.
“Kami amat sedih, pemain pula kaku,” kata Kean. “Pada babak kedua kami mempunyai banyak peluang dan seharusnya mendapat sepakan penalti. Hakikatnya kami tidak mendapat keputusan yang baik dan tidak membawanya ke perlawanan terakhir musim ini seperti yang kami lakukan tahun lalu. Ia amat mengecewakan.” - AFP
No comments:
Post a Comment