BUCHAREST: Diego Simeone memberi amaran kepada barisan pemain Atletico Madrid mengenai tentangan yang bakal diberikan Athletic Bilbao apabila kedua-dua kelab dari Sepanyol itu bertembung pada final di Bucharest bagi merebut kejuaraan Liga Europa, awal pagi esok.
Walaupun baru lima bulan dilantik sebagai jurulatih, Simeone berjaya membawa Atletico melangkah ke final kedua Liga Europa dalam tempoh tiga tahun selepas wakil Sepanyol itu merangkul kejuaraan Eropah hasil kemenangan 2-1 ke atas Fulham pada 2010.
Namun beliau yang mengambil tempat Gregorio Manzano yang dipecat Disember lalu, menjangkakan kredibilitinya akan diuji oleh Athletic biarpun pasukan lawan itu masih belum menikmati kejayaan besar di pentas Eropah.
“Mereka sebuah pasukan yang berkualiti, berani dan mengamalkan permainan bola sepak pantas. Pasukan seperti ini tidak gentar mempamerkan permainan tersendiri biarpun beraksi di gelanggang lawan,” kata Simeone.
“Mereka mempamerkan permainan seperti itu sepanjang musim. Saya tahu mereka akan tetap mempamerkan permainan sama tidak kira dalam aksi persahabatan atau final.” Selain membabitkan pertembungan sesama kelab Sepanyol, final itu juga bakal menyaksikan percaturan taktikal antara Simeone dengan bekas jurulatihnya, Marcelo Bielsa.
Bielsa adalah bekas jurulatih Argentina ketika Simeone mencipta rekod 106 pada penampilan terakhir bersama pasukan kebangsaan pada Piala Dunia 2002.
Dan ketika Simeone menyuarakan rasa kagum dengan kehebatan rakan sejawatnya dari Argentina itu, beliau percaya sumbangan mereka agak terhad dengan menyatakan: “Pemain-pemain yang akan beraksi, kami hanya berada di luar padang.” “Pada perlawanan seperti ini, siapa yang pernah merasai pengalaman sebelum ini tahu apa yang akan berlaku tapi ia tidak memberi jaminan anda akan menang,” tambahnya.
Ketika Atletico memiliki reputasi lebih baik di Eropah dan menduduki tangga keempat La Liga, lima anak tangga di depan Athletic, skuad kendalian Bielsa dilabel antara salah satu pasukan paling menghiburkan dalam kejohanan musim ini.
Keazaman Athletic untuk memburu kejuaraan terserlah apabila menyingkirkan Manchester United pada pusingan ketiga sekali gus memadam peluang anak buah Alex Ferguson menebus kegagalan dalam kempen Liga Juara-Juara. - AFP
No comments:
Post a Comment