THE HAGUE: Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk semalam mengumumkan skuad awal 36 pemain bagi kejohanan Euro 2012 di Poland dan Ukraine yang akan bermula pada 8 Jun.
Van Marwijk akan mengecilkan skuad itu dengan hanya memilih 23 pemain termasuk tiga penjaga gol pada 29 Mei ini.
Menurut kenyataan Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB), 36 pemain yang disenaraikan itu akan menyertai kem latihan di Hoenderloo pada 14 dan 15 Mei ini.
“Kami mengadakan perbincangan dengan pegawai teknikal bagi memastikan pasukan ini memiliki keseimbangan di setiap posisi,” kata Van Marwijk.
Penyerang Barcelona, Ibrahim Afellay (gambar) turut disenaraikan meskipun hanya kembali berlatih semula Mac lalu selepas enam bulan berehat akibat kecederaan lutut kiri.
Van Marwijk turut menyenaraikan sembilan pemain yang tidak dipanggil sebelum ini termasuk pertahanan PSV Eindhoven, Jetro Willems, 18, dan pemain pertahanan Feyenoord berusia 20 tahun, Stefan de Vrij.
Pemain pertahanan kiri PSV Eindhoven, Erik Pieters menarik diri daripada skuad kerana dia masih belum sembuh daripada kecederaan kaki kanan.
Tempatnya diambil alih pemain Vitesse Arnhem, Alexander Buttner.
Pasukan finalis Piala Dunia 2010 yang tewas di tangan Sepanyol 0-1 itu melepasi pusingan kelayakan Euro 2012 dengan memenangi sembilan daripada 10 perlawanan peringkat kumpulan dan mengumpul jaringan terbanyak, 37 gol berbanding pasukan lain. - AFP
No comments:
Post a Comment