Thursday, 10 May 2012

Carles Puyol terlepas aksi Euro 2012

MADRID: Pemain Barcelona, Carles Puyol akan menjalani pembedahan lutut dan terpaksa diketepikan selama enam minggu sekali gus menyaksikan dia tidak dapat beraksi pada final Piala Raja Sepanyol dan kemungkinan juga Euro 2012 bersama skuad kebangsaan.

Kapten Barca berusia 34 tahun itu akan menjalani pembedahan lutut di mana kamera kecil akan dimasukkan dan tisu rosak akan dipulihkan semula atau dibuang.

Akibat pembedahan itu, Puyol akan terlepas aksi final Piala Raja Sepanyol pada 25 Mei ini apabila Barcelona menentang Athletic Bilbao di Stadium Vicente Calderon.

“Berdasarkan laporan kesihatan, Puyol mengalami kecederaan lutut kanan ketika beraksi menentang RCD Espanyol, Sabtu lalu,” jelas kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

“Selepas melakukan ujian awal, mereka memutuskan pemain itu perlu menjalani pembedahan lutut, Sabtu ini,” menurut kenyataan itu yang menyatakan Puyol memerlukan enam minggu untuk pulih.

Dalam tempoh pemulihan itu, amat sukar buat Puyol untuk mendapat tempat dalam pasukan Sepanyol bagi kempen Euro 2012 di Poland dan Ukraine. - AFP

No comments: