Thursday, 10 May 2012

Kejohanan Tenis Terbuka Madrid 2012, Venus Williams tersingkir

MADRID: Juara tujuh acara Grand Slam, Venus Williams tersingkir pada kejohanan Terbuka Madrid kelmarin ketika pilihan utama kategori lelaki, Novak Djokovic mengkritik pemimpin tenis kerana tidak mendapatkan pandangan pemain mengenai permukaan gelanggang baru kontroversi berwarna biru.

Venus, 31, pemain wild-card Amerika Syarikat yang bergelut untuk meneruskan kariernya selepas kecederaan dan berehat panjang, kecundang 4-6, 1-6 di tangan pilihan ke-12 dari Jerman, Angelique Kerber pada pusingan kedua.


Tahun ini, Venus yang mengalami sindrom autoimun menarik diri daripada kedua-dua Terbuka Australia dan Malaysia, sebelum layak ke suku akhir di Miami dan Charleston.

Namun adiknya Serena Williams menang 6-3, 6-1 pada perlawanan pertamanya menentang pemain Russia, Elena Vesnina, sekalipun memulakan perlawanan lebih awal pada jam 11 pagi. “Saya tidak suka bermain terlalu awal,” katanya.


Penyandang juara wanita, Petra Kvitova memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan 6-2, 6-3 ke atas pemain New Zealand, Marina Erakovic.


Pilihan ketiga itu, yang menundukkan Victoria Azarenka straight set untuk menjulang trofi tahun lalu, mara ke pusingan kedua selepas beraksi 67 minit, melakukan lima servis ace.

Bintang China, Li Na, turut mara mudah selepas menundukkan pemain Sepanyol, Silvia Soler-Espinosa 6-3, 6-1 manakala juara Terbuka AS, Samantha Stosur bangkit daripada kekalahan satu set untuk menundukkan Christina McHale 2-6, 6-4, 6-0 pada pusingan kedua.


Sementara itu pemain nombor satu dunia dan juara bertahan lelaki, Djokovic mengkritik pemimpin tertinggi tenis mengenai gelanggang biru yang menjadi percubaan di Madrid dan berkata apa yang diharapkan pemain ia tidak menyebabkan kecederaan.

“Harapan semua pemain adalah kami tidak mengalami kecederaan dan beraksi dengan bagus,” kata finalis Masters Monte Carlo itu, yang tidak bertanding dalam kejohanan ATP di Belgrade minggu lalu selepas kematian datuknya.


Djokovic menyertai bintang Sepanyol, Rafael Nadal mengkritik pemimpin ATP kerana tidak mendapatkan pandangan ramai. Hubungan ATP agak keruh beberapa bulan terakhir dan berdepan mogok mengenai perkongsian wang acara Grand Slam.


“Satu-satunya kekecewaan di kalangan pemain adalah ia diputuskan tanpa pemain bersetuju dengannya,” kata pemain Serbia itu. “Pemain perlu bersetuju dengan perubahan, pandangan mereka perlu diambil kira.” - AFP

No comments: