KINGSTON (Jamaica): Dwain Chambers berkata dia sudah belajar daripada kesilapan berikutan penggantungan kerana dadah dan yakin dia boleh melayakkan diri ke Sukan Olimpik London selepas penggantungan Britain ke atas pesalah dadah ditarik balik minggu lalu.
“Pada usia ini, dengan barisan atlet dan pelari pecut semasa, anda sedar untuk melayakkan diri adalah semakin sukar,” kata pelari berusia 34 tahun dari London itu.
“Tapi saya berasa yakin mengenainya. Saya memiliki jadual perlumbaan yang bagus,” kata juara 60 meter dunia 2010 itu selepas latihan di Jamaica bersama bekas pemegang rekod 100m dunia, Asafa Powell.
Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) tidak menerima penggantungan seumur hidup Persatuan Olimpik Britain (BOA) ke atas pesalah dadah, sekali gua membuka peluang buat Chambers dan pelumba basikal, David Millar untuk dipilih dalam kontinjen Olimpik Britain.
“Ia satu peluang yang bagus,” kata Chambers. “Saya sudah belajar daripada kesilapan saya... tapi saya masih perlu melayakkan diri.” Pelari pecut nombor satu Britain itu berkata dia akan cuba melayakkan diri dalam acara 100m pada kejohanan pemilihan 22-24 Jun ini di Birmingham. Dia turut berharap terpilih dalam skuad berganti-ganti 4x100m Britain.
“Saya fikir 200m agak sukar buat saya pada usia ini,” katanya tersenyum. “Saya hanya menumpukan untuk acara 100m dan saya banyak belajar dengan MVP (kelab olahraga) yang mempunyai beberapa atlet terpantas di dunia.” Dia akan bertembung dengan pemenang tiga emas Olimpik dari Jamaica, Usain Bolt dalam acara 100m di Ostrava pada 25 Mei ini.
Chambers, yang menduduki tangga keempat acara 100m pada Sukan Olimpik Sydney 2000, berkata dia tidak menjangkakan saingan getir daripada pelari Britain lain dalam usahanya layak ke Olimpik. - Reuters
No comments:
Post a Comment