Thursday, 10 May 2012

Mickelson disenarai ke Dewan Kemasyhuran Golf Dunia

ST AUGUSTINE (Amerika Syarikat): Juara Masters AS tiga kali, Phil Mickelson mengetuai kelompok lima personaliti yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Golf Dunia, kelmarin.

Mickelson disertai oleh juara dua kejuaraan utama, Sandy Lyle; bekas pemain yang beralih kepada pengulas televisyen, Peter Alliss; bekas bintang LPGA, Hollis Stacy dan wartawan golf, Dan Jenkins.

“Saya hanya mahu berkata sejak kecil dan kali pertama memegang kayu golf, mimpi saya sudah menjadi kenyataan dan saya mahu berterima kasih kepada anda kerana pengiktirafan hebat ini,” kata Mickelson.

Karier gemilang Mickelson dilonjakkan dengan empat kejuaraan utama dimenanginya termasuk kejuaraan Masters pada 2004, 2006 dan 2010. Dia turut memenangi Kejohanan PGA 2005.

Pemain Amerika berusia 41 tahun itu memiliki 40 kejuaraan karier dalam Jelajah PGA, termasuk Kejohanan Pemain-Pemain 2007 dan Kejohanan WGC-CA 2009.

Mickelson menerima 72 peratus daripada undian keseluruhan. Hanya pemain Australia, Greg Norman memiliki peratus lebih tinggi apabila dia mendapat 80 peratus undian pada 2001. - AFP

No comments: