Thursday 10 May 2012

Pelumba Asia jadi rebutan

USAHA membentuk juara Asia ke peringkat dunia semakin rancak apabila semua pengeluar motosikal kini memberi tumpuan terhadap Asia sebagai tindak balas terhadap peralihan pasaran global.

Kajian terkini menunjukkan industri motosikal Asia mempunyai jumlah pengeluaran tertinggi di seluruh dunia dan pasaran kedua paling pesat berkembang selepas Afrika.

Ia bukan hanya terhad kepada motosikal underbone, malah permintaan terhadap jentera berkuasa tinggi juga menunjukkan peningkatan ketara berbeza dengan pasaran yang semakin mengecil di Eropah dan Amerika Syarikat.

Hong Leong Yamaha Sdn Bhd menghantar pelumba SuperSports 600cc, Mohd Zamri Baba (Petronas Yamaha Malaysia) menyertai MFJ All Japan Championship di Litar Motegi, Mac lalu.

Bintang muda meningkat naik, Mohd Ramdan Mohd Rosli (Petronas Yamaha Malaysia AHM), walaupun baru berusia 16 tahun, beraksi di Malaysian Super Series (MSS) dan beberapa kejohanan di Indonesia dan China.

Begitu juga dengan Hafizh Syahrin Abdullah yang memulakan kariernya di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas dan mempamerkan peningkatan ketara sewaktu beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia Petronas, kini mula beraksi sepenuh masa di Sepanyol dengan sokongan penuh penajanya, Petronas.

Tidak ketinggalan, Boon Siew Honda Sdn Bhd turut mengumumkan sasaran untuk menguasai kejuaraan utama di Asia.

Bulan lalu menyaksikan mereka mengumumkan perancangan melalui pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Emir Firdaus Hasan dan pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidi.

Mereka bukan hanya akan beraksi di ARRC malah di MSS, All Japan Championship serta kejuaraan berprestij, Suzuka 8-Hours Endurance Road Race tahun ini.

Begitu juga dengan pasukan Indonesia menerusi M Fadli dari pasukan Manual Tech BEET Kawasaki Racing akan beraksi di Jepun tahun ini manakala pelumba Yamaha Indonesia Racing, Rafid Topan Sucipto, Doni Tata Pradita dan Dimas Ekky Pratama mengorak langkah awal dengan menyertai perlumbaan di Qatar.

Di peringkat antarabangsa pula, Honda Motor Co Ltd memperkenalkan Piala Impian Asia (ADC) yang dilangsungkan bersama-sama dengan ARRC musim ini.

Perlumbaan kelas biasiswa ini adalah pentas bagi 16 pelumba muda dari seluruh Asia mempamerkan aksi mereka dengan menggunakan jentera Honda CBR250R, model pengeluaran menyamai dengan kelas Moto3 yang mula diperkenalkan di MotoGP. - Metro

No comments: