Thursday 10 May 2012

City makin yakin

Roberto Mancini
Roberto Mancini

MANCHESTER (England): Roberto Mancini sedar Manchester City kini semakin hampir untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) namun beliau tidak mahu anak buahnya terbawa-bawa dengan kejayaan yang bakal diraih mereka.

Kemenangan ke atas pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, QPR di Stadium Etihad pada hari terakhir liga musim ini akan mengesahkan mereka merangkul kejuaraan liga pertama sejak 44 tahun.


Lantas selepas kemenangan 2-0 ke atas Newcastle, Mancini sedar skuad kendaliannya semakin hampir untuk merangkul kejuaraan liga.

Pengendali berbangsa Itali itu berkata: “Kami sudah semakin hampir untuk menjulang trofi. Tapi ia masih belum cukup kerana kami masih mempunyai satu lagi perlawanan dan ia sangat sukar.


“Saya berasa lega selepas keputusan bertemu Newcastle, begitu juga dengan pemain. Tapi kami perlu sekali lagi turun dengan prestasi sama ketika bertemu QPR.” Pengurus QPR yang juga bekas pengendali City, Mark Hughes pasti mahu memastikan anak buahnya terselamat daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan dan Mancini sedar barisan pemainnya tidak boleh memandang remeh perlawanan itu.


“Kami perlu terus berpijak di bumi nyata,” kata pengurus City itu.

“Kami melakukannya ketika bertemu United. Disiplin sama juga kami terapkan ketika bertemu Newcastle. Jika kami tidak terus fokus dan bersedia untuk perlawanan seterusnya, pasti kami akan melalui perlawanan yang sukar.” Pengurus Manchester United, Alex Ferguson terus bermain psikologi dengan City dan menyatakan lawannya itu mungkin akan tewas pada perlawanan terakhir mereka.


Bagaimanapun Mancini berkata: “Kami tidak berdepan sebarang tekanan. Ketika bertemu Newcastle mungkin kami mengalami sedikit situasi itu. Tapi kini kami hanya perlu turun pada perlawanan terakhir dan beraksi sebaik mungkin.” - Agensi

No comments: