Thursday 10 May 2012

Nawi Yunus Nafi pecah amanah RM3,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas jurujual kereta dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM3,000 milik sebuah syarikat jualan kereta, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nawi Yunus, 53, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim S M Komathy Suppiah.


Berdasarkan pertuduhan, Nawi didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik syarikat Kah Motor Co Sdn Bhd berjumlah RM3,000 diamanahkan kepadanya yang ketika itu sebagai jurujual di syarikat itu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di syarikat berkenaan beralamat No 32D-1, Blok B, Jalan Chan Sow Lin di sini, pada 21 Mei 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli menawarkan ikat jamin RM10,000 kerana berpendapat perbuatan tertuduh itu membabitkan jumlah agak besar.


Namun, peguam tertuduh, Noor Asnie M Salleh memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,000 dengan alasan tertuduh kini hanya bekerja sambilan dan menanggung seorang isteri serta empat anak masih belajar.-Metro

No comments: