Thursday 10 May 2012

Sinergi baru FGVH

LANCAR...(dari kiri) Sabri, Mohd  Isa dan Zakaria merasmikan produk SunBear, semalam.
LANCAR...(dari kiri) Sabri, Mohd Isa dan Zakaria merasmikan produk SunBear, semalam.

PELANTIKAN rakan strategik antarabangsa Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) yang dijangka diumumkan minggu depan mampu meningkatkan potensi pasaran produk hiliran keluaran kumpulan itu.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad berkata, sinergi yang diharapkan menerusi pelantikan rakan strategik ialah peningkatan keupayaan pasaran yang lebih baik.


“Kedudukan kita kukuh dalam sektor huluan, jadi menerusi kerjasama ini, diharap ia memberi manfaat menang-menang kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran produk terbaru anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd (Delima), rangkaian lepa kacang dan coklat jenama SunBear, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif FGVH, Datuk Sabri Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Delima, Zakaria Arshad.


Mohd Isa bagaimanapun enggan mendedahkan nama firma yang bakal dilantik serta pegangan saham mereka.


“Berdasarkan usaha perbincangan yang dilaksanakan di beberapa negara, kita mendapat sambutan yang baik serta ramai yang berminat. Kita akan buat keputusan dalam masa terdekat dan memaklumkannya kemudian,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata, pihaknya mensasarkan perolehan sebanyak RM1.2 bilion menerusi rangkaian produk hiliran pada tahun ini.


“Saya yakin ia mampu dicapai berikutan kejayaan perolehan sebanyak RM1.13 bilion bagi produk hiliran tahun lalu. “Kami akan mengeluarkan beberapa produk hiliran baru pada Julai dan September ini bagi memperluaskan rangkaian pasaran sedia ada,” katanya.

Mengenai produk terbaru keluaran Delima, beliau berkata, ia disasarkan kepada golongan kanak-kanak.


“Dengan rangkaian 7,000 pengedar serta strategi penjenamaan dan pemasaran, saya optimis produk ini mampu menarik perhatian pengguna,” katanya.

No comments: