Thursday 10 May 2012

HLK (Chain-Store) Sdn Bhd melabur RM10 juta

SYARIKAT pengedaran barangan elektrik dan perkakasan rumah, HLK (Chain-Store) Sdn Bhd melabur RM10 juta bagi membina ibu pejabat serta pusat pengedaran barunya di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor dalam usaha meningkatkan kecekapan syarikat untuk memperluaskan edarannya.

Pengarah Urusannya, Leng Jig Leong berkata, usaha itu juga selaras dengan strategi tiga tahun syarikat untuk meningkatkan jumlah cawangan di Semenanjung Malaysia kepada 50 berbanding 20 cawangan ketika ini.


Menurutnya, ibu pejabat baru di Kota Kemuning itu menggantikan operasi di Puchong dan mula beroperasi sejak Februari lalu.

“Syarikat mempunyai perancangan jangka panjang sehingga 2015 iaitu menambah cawangan. Setakat ini kami mempunyai 20 cawangan membabitkan 18 di Lembah Klang dan dua lagi di Perak. Hasrat kami menjadikan 50 cawangan untuk menguatkan operasi di Semenanjung.


“Justeru, pembinaan ibu pejabat baru dengan dilengkapi gudang lebih luas dan bilik pameran adalah selari dengan rancangan tiga tahun itu kerana kapasiti gudang untuk penyimpanan sebelum diedar berupaya menampung permintaan dari cawangan dan pelanggan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan Ibu pejabat dan Pusat Pengedaran HLK di Lot 9 Jalan Anggerik Mokara, 31/54, Kota Kemuning, di Shah Alam, semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah pemimpin syarikat pembuatan elektrik terkemuka seperti Hesstar; LG Electronics; Panasonic; Sharp; Toshiba; Samsung; Hitachi dan Philips.-Metro

No comments: