Thursday 10 May 2012

MRT Corp lulus empat pakej tender RM3.22b

MASS Rapid Transit Corporation (MRT Corp) meluluskan empat pakej tender tambahan bernilai RM3.22 bilion untuk pembinaan sejauh 51 kilometer (km) membabitkan laluan MY Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh–Kajang (SBK).

Empat syarikat terbabit ialah Syarikat Muhibbah Perniagaan & Pembinaan Sdn Bhd (RM1.09 bilion), Sunway Construction Sdn Bhd (RM1.17 bilion), MTD Construction Sdn Bhd (RM499.98 juta) dan Trans Resources Corporation Sdn Bhd (RM458.98 juta).


Tender itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemerolehan Sehenti (OSPC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, semalam.

“Pakej berkenaan ialah untuk Jejambat 1, Jejambat 4, Jejambat 7 dan Depot 1,” kata MRT Corp dalam kenyataan di Kuala Lumpur.


Pakej jejambat itu termasuk pembinaan dan penyiapan jalan masuk jejambat dan kerja berkaitan, manakala pakej depot membabitkan pembinaan Depot Sungai Buloh dan bangunan berkaitan.


Pakej V1, yang juga pakej eksklusif Bumiputera, meliputi kerja penjajaran SBK antara stesen Sungai Buloh serta Kota Damansara dan tender itu dimenangi Syarikat Muhibbah Perniagaan & Pembinaan Sdn Bhd. Pakej V4, bagi projek antara Seksyen 17 di Petaling Jaya dan Semantan Portal diluluskan kepada Sunway Construction Sdn Bhd membabitkan jajaran yang berterusan ke laluan bawah tanah.

Sementara itu, Pakej V7 bagi kerja antara Bandar Tun Hussein Onn dan Taman Mesra, kedua-duanya di Cheras, dimenangi oleh MTD Construction Sdn Bhd. Pakej akhir DPT1 OSPC membabitkan kerja berkaitan Depot Sungai Buloh dan tender kategori terbuka itu dimenangi syarikat Bumiputera, Trans Resources Corporation Sdn Bhd.


Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya gembira memandangkan projek itu sudah mencatat kemajuan lanjut berdasarkan kelulusan pakej tender itu yang juga tender ketiga yang diluluskan oleh OSPC.

No comments: