Saturday, 4 February 2012

Honda iktiraf bakat negara

PELUMBA Cub Prix Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Mohd Zaqhwan Zaidi menerima pengiktirafan Honda Motor Co Japan sewaktu Honda mengumumkan untuk memperkukuhkan pasukan bagi menghadapi Kejuaraan Motosikal FIM Asia Petronas 2012.

Dalam satu kenyataan media, pengeluar motosikal Jepun itu mengumumkan pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia menyenaraikan empat pelumba berbanding dua sebelum ini. Pelumba handalan Kejuaraan Superbike British, Ryouichi Kiyonari akan beraksi bersama tiga pelumba negara.


Dengan pengumuman itu Azlan, Emir dan Zaqhwan muncul pelumba pertama Malaysia tersenarai sebagai pelumba rasmi Honda (pelumba sokongan Honda).

Selain itu, Honda secara rasmi menyatakan sokongan terhadap perlumbaan di Asia dengan memperkenalkan program mencungkil bakat baru iaitu Piala Asia Dream.


Projek ini sebahagian daripada Kejuaraan Motosikal FIM Asia Petronas yang disertai pelumba dari 12 negara Asia dan Oceania dalam usaha melahirkan pelumba Grand Prix di masa akan datang. Honda membekalkan jentera mengikut spesifikasi perlumbaan berdasarkan model pasaran seluruh dunia, CBR250R dan turut meletakkan bekas pelumba MotoGP, Makoto Tamada pada setiap perlumbaan untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada peserta muda.

No comments: