SCOTTSDALE, Arizona: Pemain nombor enam dunia dari Amerika Syarikat, Webb Simpson menggunakan putter dengan cemerlang untuk muncul pendahulu awal pada pusingan pertama Terbuka Phoenix, di Scottsdale, Arizona, semalam.
Simpson, pemain di ranking tertinggi yang bertanding, membenam beberapa pukulan putt dari jarak 12 hingga 15 kaki dalam laluan melakar enam bawah par 65 dalam keadaan cuaca baik tanpa berangin di TPC Scottsdale.
Pemain berusia 26 tahun itu mengumpul tujuh birdie dengan bogey tunggal di lubang keenam par-empat untuk unggul satu pukulan di depan rakan senegara, Derek Lamely, Kevin Na dan Harrison Frazar, selain pemain Australia, Jarrod Lyle.
Bintang Afrika Selatan, Trevor Immelman, juara Masters AS 2008, membuka kempen dengan 67 manakala Phil Mickelson, juara Terbuka Phoenix pada 1996 dan 2005, merakam empat birdie untuk berakhir dengan 68.
Simpson, yang menamatkan musim terbaik kariernya dalam Jelajah PGA tahun lalu dengan dua kemenangan dan kedua dalam senarai hadiah wang, gembira dengan persembahannya di green.
“Apa yang membantu saya di sana sepanjang hari adalah pukulan putt saya,” katanya selepas mengumpul hanya 27 putt. “Saya melakukan pukulan putt yang bagus, jadi sudah pasti saya teruja. Di lubang ke-17 adalah yang paling jauh, mungkin 20, 25 kaki.” Simpson, yang memulakan saingan dari lubang ke-10, melonjak dalam senarai pendahulu dengan empat birdie berturut-turut dari lubang ke-17.
Click Here
Pemain nombor sembilan dunia dari AS, Dustin Johnson dan rakan senegara Keegan Bradley, pemenang Kejohanan PGA tahun lalu, bermula dengan 68. - Reuters
No comments:
Post a Comment