Saturday, 28 April 2012

Arsenal Perlu Kekal ditangga Ketiga Bagi memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara

LONDON: Pertahanan Arsenal, Carl Jenkinson menyuarakan Gunners kini terdesak untuk terus kekal di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam usaha memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara, musim depan.

Kejayaan Chelsea mara ke final Liga Juara-Juara Eropah meningkatkan kemungkinan hanya tiga kelab EPL layak ke kejohanan musim depan, berbanding empat sebelum ini.

Biasanya tiga kelab Inggeris yang menamatkan saingan liga di tiga tangga teratas akan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, manakala kelab di tangga keempat bertanding di pusingan kelayakan.

Tetapi jika Chelsea, yang kini di tangga keenam, menewaskan Bayern Munich pada final 19 Mei nanti, akan mendapat tiket ke pusingan kelayakan menggantikan penghuni tangga keempat Liga Perdana.

Arsenal akan berkunjung ke Stoke City, hari ini dengan bekalan tiga mata mengatasi Newcastle United di tangga keempat yang kurang satu perlawanan berbanding Gunners.

Jenkinson mahu menamatkan saingan Liga Perdana musim ini dengan memastikan skuad kendalian Arsene Wenger sah beraksi pada kejohanan elit Eropah itu musim depan, tanpa mengharapkan Bayern menewaskan Chelsea pada final Liga Juara-Juara.

“Sudah tentu Chelsea mampu menang, mereka tidak akan sampai ke tahap ini jika tiada semangat untuk menang dalam diri mereka,” kata Jenkinson. “Tetapi nasib kini di tangan kami, kami di tangga ketiga dan kami tidak boleh mengharapkan perkara lain untuk layak ke Liga Juara-Juara.” – AFP

No comments: