Saturday, 28 April 2012

Badminton Terbuka India 2012: V Shem-Khim Wah iringi kemaraan Chong Wei

JAGUH negara, Lee Chong Wei melangkah ke separuh akhir Terbuka India selepas menyingkirkan bekas juara Olimpik dari Indonesia, Taufik Hidayat sambil kemaraannya turut diiringi gandingan muda negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah yang terus mencuri tumpuan dalam acara beregu lelaki.

V Shem-Khim Wah yang melakar kejutan menewaskan pasangan nombor satu Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano pada pusingan kedua kelmarin terus mempamerkan kehebatan mereka semalam dengan menewaskan pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dalam pertarungan tiga set dengan keputusan 21-17, 16-21, 21-10.
Chong Wei yang sudah menjamin status sebagai pilihan pertama di Sukan Olimpik Julai depan dan kali pertama beraksi di kejohanan antarabangsa selepas pulih daripada kecederaan bahu pada Seluruh England Mac lalu kelihatan agak mudah mengatasi Taufik apabila menang 21-16, 21-13 dalam masa 34 minit.
Pada separuh akhir hari ini, Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia dan pilihan pertama kejohanan bakal berdepan sama ada pemain Taiwan, Jen Hao Hsu atau Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark, manakala V Shem-Khim Wah akan berdepan pilihan kedua kejohanan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong yang menyingkirkan pasangan China, Wei Hong-Ye Shen 15-21, 21-17, 21-12.

Sementara itu, Koo Kien Keat-Tan Boong Heong gagal meneruskan kemaraan dalam beregu lelaki selepas tewas kepada pasangan Indonesia Angga Pratama-Ryan Agung Saputra 21-18, 15-21, 21-19.

Dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga gagal selepas tewas kepada pilihan ketiga dari Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 21-14, 15-21, 21-18 dalam masa 58 minit. - Berita Harian

No comments: