VICTORIA Azarenka akan me-nyertai Sukan Olimpik London dengan matlamat untuk memenangi pingat emas dan bukan sekadar bertukar-tukar pin kenang-kenangan.
Empat tahun lalu di Beijing, dia mengakui dia hanya pemain remaja yang terlalu seronok dengan penampilan pertamanya di pentas Olimpik.
Kini, pemain Belarus yang jelita itu melonjak ke ranking nombor satu dunia selepas memenangi acara perseorangan Grand Slam buat kali pertama di Terbuka Australia tahun ini.
Rekod 26 kemenangan yang membolehkannya meraih kejuaraan di Sydney, Doha dan Indian Wells memberikan ganjaran wang kemenangan lebih daripada AS$4 juta (RM12.2 juta).
Sewaktu Terbuka Madrid, kelmarin, Victoria memberitahu dia tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap permainan tenis di China pada 2008 apabila tewas kepada Venus Williams pada pusingan ketiga tetapi akan lebih serius dalam perlawanan yang akan berlangsung di Wimbledon.
“Saya tidak begitu ingat mengenai permainan di Beijing kerana saya tidak begitu memberi tumpuan kepada sukan ini,” kata atlet berusia 22 tahun itu.
“Saya lebih memberi perhatian terhadap pengalaman berada di sana dan bertukar-tukar pin kenang-kenangan.
“Ia satu pengalaman yang hebat dapat merasai suasana di stadium dan berada
di perkampungan sukan bersama atlet lain.
“Saya tidak terlalu berwaspada ketika itu dan ia agak mengecewakan tetapi saya mempunyai peluang untuk mewakili negara sekali lagi dalam acara seperti itu dan ia sukar dijelaskan dengan kata-kata.”
Victoria berkata kali ini dia tidak akan tinggal di perkampungan Olimpik London bersama atlet Belarus lain memandangkan ia jauh dari Kelab Seluruh England.
Pertandingan yang diadakan di Wimbledon itu tidak memerlukan pemain memakai pakaian serba putih tetapi menyarung warna negara masing-masing.
“Berfikir mengenai permainan di Wimbledon tanpa pakaian serba putih adalah satu perubahan yang ekstrim. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana keadaannya ketika itu.
“Adalah penting bagi saya mewakili negara kerana anda sedar betapa ramai yang berada di belakang anda dan menyokong anda.
“Orang ramai tidak kisah apa yang berlaku dan mereka berkumpul bersama untuk menyaksikannya. Ia satu perasaan yang sukar dipercayai dan saya masih ingat menyaksikan Sukan Olimpik di televisyen seperti acara renang dan olehraga,
ia sungguh menakjubkan.”-Metro
No comments:
Post a Comment