Thursday, 10 May 2012

Sedia tawan Asia

WALAUPUN masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas musim 2012, namun dengan kehadiran juara tiga kali Kejuaraan Superbike British (BSB), Ryuichi Kiyonari (gambar) ia sudah pasti satu berita menarik buat peminat kejuaraan jentera dua roda paling berprestij di Asia itu.

Dengan reputasi hebat memenangi gelaran pada 2006, 2007 dan 2010 termasuk merekodkan 43 kemenangan perlumbaan, Kiyonari dianggap antara legenda dan pelumba paling berjaya di Kejuaraan BSB. Sudah pasti kehadiran Kiyonari dilihat mampu menjadi ancaman utama buat juara bertahan ARRC Petronas, Katsuaki Fujiwara.

Penampilan Kiyonari pada saingan ARRC diputuskan sendiri oleh pihak Honda Motor Co, Jepun dalam satu pengumuman seluruh dunia yang dibuat awal tahun lalu serentak dengan pengumuman barisan pelumba Honda yang beraksi di pentas MotoGP 2012.

Pelumba handalan Jepun itu akan bergandingan dengan pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Mohd Zaqhwan Zaidi menunggang jentera CBR600RR bersama pasukan yang berpangkalan di Malaysia, Musashi Boon Siew Honda Racing Malaysia dalam kategori SuperSports 600cc.


Namun bukan sekadar bertanggungjawab untuk mengejar kemenangan buat jentera Honda, kehadiran Kiyonari pastinya dapat meningkatkan keupayaan pelumba Asia untuk beraksi dalam perlumbaan kelas 600cc.


Seperti yang dilakukan Fujiwara sebelum ini, kehadiran kedua-dua pelumba itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan tahap kemahiran dan kebolehan pelumba Asia lain untuk menyaingi pelumba kelas dunia.

Walaupun prestasi Kiyonari dilihat sedikit merosot kerana gagal mempertahankan gelaran juara apabila hanya meraih dua kemenangan pada musim 2011, kehandalan Kiyonari masih tidak boleh dinafikan dan hasratnya untuk menakluk Asia tidak boleh diperkecilkan.

Melihat kepada sejarah pembabitannya, pelumba berusia 30 tahun itu memulakan karier dengan perlumbaan motor cross seawal usia enam tahun lagi. Kemudiannya dia beralih ke perlumbaan litar pada 1996 dan membuat penampilan pertamanya di perlumbaan All Japan Championship pada 1998 dalam kategori 125cc.

Selama empat tahun beraksi dalam kelas 125cc, prestasi Kiyonari kurang memberangsangkan apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dan pencapaian terbaiknya sekadar menduduki tangga kesembilan dalam perlumbaan Suzuka 8 Hours pada 2000.

Pada tahun berikutnya, Kiyonari beralih ke All-Japan Superbike Championship di mana dia mempamer prestasi terbaik dengan mencatat empat kemenangan selain turut muncul juara.

Pada 2003 dia beralih ke MotoGP menggantikan mendiang Daijiro Kato dalam pasukan Fausto Gresini Telefonica Movistar. Namun bergandingan dengan nama besar, Sete Gibernau yang dalam perebutan untuk meraih gelaran juara keseluruhan ketika itu, sokongan kepadanya agak terhad menyaksikan dia sekadar berada di tangga ke-19 keseluruhan dengan pencapaian terbaiknya hanya berada di tangga ke-11.

Selepas mencatat kejayaan berganda memenangi BSB pada 2006 dan 2007, Kiyonari beralih ke Kejuaraan Superbike Dunia bersama pasukan Ten Kate Honda dan bergandingan bersama Carlos Checa serta Kenan Sofuoglu.

Pada hujung 2009, dia mengambil langkah untuk kembali ke BSB atas tiket wildcard sebelum kembali untuk satu musim penuh pada 2010. Jelas kepulangannya tidak sia-sia apabila dia sekali lagi memperoleh gelaran juara keseluruhan.
Pada 2011, Kiyonari menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.

Pengarah Boon Siew Honda Motorsports, Tan Hui Jing berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran Kiyonari ke dalam pasukan.

“Selama beberapa tahun dia mencipta kejayaan di Eropah dan kini dia berhasrat untuk menguasai Asia. Kami berharap agar pelumba dalam pasukan dapat menggunakan peluang ini untuk menimba seberapa banyak ilmu daripada pelumba berkelas dunia seperti Kiyonari,” jelasnya.

Menurut Tan pasukan mereka mempunyai gandingan pelumba yang cukup kuat tahun ini dan yakin mampu mencapai kejayaan.

“Sasaran utama kami adalah untuk memenangi perlumbaan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia Petronas dan juga meraih kemenangan berganda dengan memenangi perlumbaan Suzuka 8-hour dan 4-hour Endurance. Kedua-duanya amat penting kepada kami.”

No comments: