Thursday 12 April 2012

Dilema GP Bahrain

SHANGHAI: Perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) di China hujung minggu ini tampak dibayangi kemelut membabitkan Grand Prix Bahrain yang menyaksikan persediaan untuk perlumbaan itu terganggu akibat berlaku bantahan dan mogok lapar.

Ketika pasukan dan pegawai berkumpul di Litar Antarabangsa Shanghai, fokus perlumbaan itu lebih tertumpu di Bahrain apabila kumpulan aktivis melabel perlumbaan yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 April ini sebagai ‘tiga hari yang mencetuskan kemarahan’.


Tahun lalu, perlumbaan di Bahrain pada mulanya ditangguhkan sebelum dibatalkan selepas berlaku demonstrasi keganasan antikerajaan dan pegawai pasukan kini sekali lagi meluahkan kebimbangan mereka.

Supremo F1, Bernie Ecclestone mengaku tidak boleh memaksa pasukan untuk menyertai perlumbaan di Bahrain tetapi menyatakan hanya pegawai di Bahrain perlu memutuskan sama ada perlumbaan itu patut diteruskan atau sebaliknya.


“Kami tidak boleh memaksa mereka untuk pergi ke sana. Walaupun mereka melanggar perjanjian yang sudah dipersetujui dengan kami, jika mereka tidak mahu pergi, ia tidak dapat mengubah apa-apa.


“Mereka sepatutnya perlu pergi tapi keputusan muktamad terletak di tangan mereka. Setakat ini perkataan yang sering saya dengar ialah mereka mahu berlumba di Bahrain.” Minggu ini, tujuh anggota polis mengalami kecederaan dan Perdana Menteri Denmark berkata, seorang aktivis, Abdel Hadi al-Khawaja yang dipenjarakan berada dalam keadaan kritikal akibat terbabit dengan mogok lapar selama dua bulan.

Kumpulan golongan muda pihak pembangkang mahu melakukan protes ketika perlumbaan berlangsung dan turut melancarkan kempen di laman sosial Twitter dalam usaha menggagalkan perlumbaan itu.


“Saya berasa tidak selesa dengan apa yang berlaku di Bahrain,” kata satu sumber.

No comments: