LONDON: Andy Murray berharap meraih dua kejuaraan unik utama tahun ini iaitu dengan melakar kemenangan pertama di Wimbledon diikuti meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik di stadium sama beberapa minggu selepas itu.
Pemain nombor empat dunia itu berkata, dia meletakkan dua sasaran utama pada musim panas ini di Wimbledon dan Olimpik yang berlangsung di All England Club.
“Musim panas ini sangat istimewa. Wimbledon dan Olimpik adalah dua sasaran utama saya,” kata Murray yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
“Sukan Olimpik amat berbeza. Perasaan anda ketika turun di gelanggang amat berbeza. Ia seperti anda bermain untuk orang lain, untuk negara anda.
“Apabila bermain pada kejohanan biasa, anda bermain untuk diri sendiri serta beberapa individu penting di sekeliling anda.
“Ketika bermain di Beijing, saya tidak dapat beraksi dengan baik tapi ia antara pengalaman paling bermakna sebagai atlet apabila dapat bersama barisan atlet kelas dunia yang lain,” tambah Murray.
“Tenis pada Sukan Olimpik sangat bermakna. Kini semua mahu beraksi, tidak seperti 10 atau 15 tahun dulu apabila mereka tidak mahu beraksi pada Sukan Olimpik. “Setiap pemain mahu bermain, sama seperti acara Grand Slam.” - AFP
No comments:
Post a Comment