Thursday 12 April 2012

Muntari bawa Milan ke puncak

ROME: AC Milan kembali ke puncak Serie A untuk sekurang-kurangnya 24 jam selepas mengatasi cabaran Chievo sebelum menang 1-0 pada perlawanan dalam hujan lebat, awal pagi semalam.

Milan mempamerkan kebangkitan selepas kekalahan 1-2 di laman sendiri kepada Fiorentina, Sabtu lalu walaupun dibayangi masalah kecederaan dan penggantungan membabitkan 14 pemain.


Pemain tengah Ghana, Sulley Muntari menjaringkan gol tunggal pada peringkat awal perlawanan bagi membolehkan Milan mengatasi Juventus dengan dua mata.

Namun selepas kemenangan itu, jurulatih Milan, Massimiliano Allegri melepaskan geram kepada media kerana kritikan terhadap pasukannya sejak 11 hari lalu.


“Ramai yang gembira apabila kami tumbang kepada Fiorentina namun kami sudah bangkit,” katanya.


“Kami sedar jika tewas atau gagal mencapai kemenangan malam ini, kami mungkin terkeluar dalam saingan merebut kejuaraan.

“Malah ketika kami mempunyai kelebihan empat mata, ada kempen di media yang menanti kami untuk tewas namun anda perlu menunggu hingga majlis pengebumian.


“Apa yang mengecewakan saya adalah ketika kami bersaing dengan Juve dan kelihatan seperti mereka melakukan sesuatu yang hebat dan kami pula kucar-kacir.

“Namun, pencapaian keseluruhan kami menceritakan sebaliknya kerana hakikatnya, kami sehebat Juve.” - AFP

No comments: